Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan agar Umno mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan Perpaduan sekiranya mendapati apa yang berlaku dalam kes titah adendum melibatkan Najib Razak bertentangan dengan perjuangan parti dalam mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Tegasnya, kepimpinan parti juga perlu menyerahkan kedudukan atau jawatan mereka dalam kerajaan sekiranya perkara itu boleh menyebabkan Umno kembali berpengaruh tanpa bergantung kepada pihak lain.
“Umno ada undang-undang dan perlembagaan sendiri yang sepatutnya kita hormati, ikut dan patuh.
“Jika tidak, tidak ada maknanya perjuangan Umno selama ini sekiranya hanya kerana kerusi empuk (jawatan),” kataya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menyuarakan rasa terkilan terhadap kepimpinan tertinggi Umno yang dilihat tidak bertindak susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya dengan tahanan rumah, baru-baru ini.
Menurutnya sehingga hari ini kepimpinan parti itu tidak bercadang untuk mengadakan sidang di peringkat tertinggi bagi mengkaji kedudukan tentang keputusan tersebut.
“Sampai hari ini kita belum dengar cerita Umno ada cadangan nak mengadakan sidang di peringkat tertinggi untuk mengkaji kedudukannya tentang keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
“Keputusan yang perlu diambil Umno sebagai sebuah parti yang membantu penubuhan kerajaan Perpaduan yang ada hari ini. Sebab tanpa penglibatan dan sokongan dan ahli- ahli parlimen Umno kerajaan ini tak dapat diwujudkan,” katanya.

Terdahulu wujud gesaan supaya Umno meninggalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan kekecewaan mereka terhadap perkembangan kes Najib.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh, secara terbuka menggesa parti itu menarik sokongan daripada kerajaan Madani dengan menyatakan lebih baik partinya menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus “dihina”
Sementara itu Tengku Razaleigh yang mesra disapa Ku Li itu turut menggesa kepimpinan Umno di peringkat bahagian dan cawangan bersuara mengenai perkara yang menjadi perbualan di seluruh negara itu, khususnya di kalangan ahli parti.
“Jadi itulah menyebabkan kita bertanya-tanya mengapa ini tak berlaku. Kita tak fikir mereka yang diberi jawatan dan memegang jawatan politik hasil daripada kerjasama itu membelakangkan tanggungjawab terhadap rakyat dan parti kerana kepentingan kedudukan dalam pemerintahan ataupun jawatan yang difikir penting bagi mereka, mungkin.

“Saya tidak tahu tetapi saya tak fikir itu menjadi perkara utama. Tetapi bagaimanapun perkara ini dicakap di merata tempat seluruh negara dan sepatutnya diberi perhatian oleh setidak-tidaknya pimpinan di peringkat bahagian, peringkat cawangan.
“Saya berharap pihak bahagian tidak juga berdiam diri dan sepatutnya menzahirkan sama ada rasa dukacita ataupun perasaan hampa yang usaha-usaha ini tak dapat dilakukan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan itu, Akmal tampil menyahut saranan Ku Li yang disifatkan mewakili suara majoriti akar umbi Umno.
“Terima kasih Ku Li atas nasihat dan juga menyuarakan suara majoriti orang Melayu dan akar umbi Umno.
“Sudah tiba masanya,” katanya, tanpa mengulas lanjut.

