malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Selamat Hari Krismas, kepelbagaian perlu dilindungi - PAS
Diterbitkan:  Dec 24, 2025 4:23 PM
Dikemaskini: 8:23 AM
ADS

PAS mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian di Malaysia dengan menyifatkan kepelbagaian di negara ini sebagai satu amanah yang perlu dilindungi dengan ikhlas dan bijaksana.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, sambutan tahun ini sewajarnya menjadi detik untuk memperkukuh hubungan serta memperbaharui komitmen rakyat terhadap budaya kasih sayang dan muhibah.

"Walaupun berlainan agama dan kepercayaan, kita mesti bersatu hati dan impian dalam membina sebuah negara yang adil, selamat dan bermaruah untuk semua.

"Nilai-nilai yang dimuliakan semasa sambutan Krismas — kasih sayang, kemaafan, tawaduk dan khidmat bakti — adalah juga nilai bersama yang meliputi semua agama dan kepercayaan, termasuk Islam," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Takiyuddin turut menekankan bahawa di tengah-tengah konflik dan salah faham dunia yang kian memburuk, Malaysia perlu kekal sebagai contoh cemerlang bagi kehidupan bersama yang sihat dan matang.

Jelasnya, meskipun rakyat mungkin tidak bersetuju dalam semua perkara, namun setiap individu mempunyai pilihan untuk mendengar dan menghormati hak semua pihak di bawah naungan negara yang sama.

"Keharmonian tidak akan tercapai melalui keseragaman, namun PAS percaya ia boleh dinikmati melalui kesediaan serta keikhlasan kita dalam menghargai dan melindungi ruang serta tempat untuk semua warga di negara ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen