malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
EAIC rujuk MOF kes pegawai kanan kastam dakwa 'dihukum' pindah
ADS

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan merujuk aduan seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kepada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung dakwaan pertukaran bersifat punitif atau hukuman. 

Langkah itu diambil susulan laporan polis pegawai terbabit yang mendakwa dia menjadi mangsa "punitive transfer" sebanyak dua kali dalam tempoh kurang dua bulan tanpa alasan munasabah atau proses siasatan dalaman yang adil.

EAIC mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa pihaknya telah menerima aduan tersebut dan memutuskan untuk menyerahkan urusan berkenaan kepada kementerian berkaitan.

"Aduan ini akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan kerana JKDM adalah agensi bawah kementerian tersebut dan perkara aduan adalah melibatkan aspek pentadbiran agensi. 

"EAIC berharap pihak berkaitan akan mengambil tindakan sewajarnya dan EAIC bersedia untuk memberikan kerjasama penuh dalam proses tersebut," kata jurucakap EAIC. 

Suruhanjaya itu turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada MOF bagi memastikan isu tersebut diselesaikan mengikut saluran yang betul. 

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pegawai kanan berkenaan membuat laporan polis pada 18 Disember lalu di Balai Polis Satok, Kuching, Sarawak.

Laporan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan penularan dokumen yang mendakwa wujudnya salah guna kuasa membabitkan kepimpinan tertinggi jabatan berkenaan di Putrajaya.

Menurut laporan polis yang dilihat oleh portal ini, pengadu mendakwa dia ditukar secara serta-merta dari JKDM Selangor ke JKDM Sarawak pada 23 Oktober.

Pada 17 Disember, dia sekali lagi dipindahkan dari Bahagian Pematuhan JKDM Sarawak ke Bahagian Cukai Dalam Negeri tanpa sebarang penjelasan rasmi.

Dakwanya, dia dituduh menjadi dalang di sebalik penyebaran e-mel atau surat layang yang mengaitkan pegawai tertinggi JKDM tersebut dengan seorang pemimpin utama sebuah parti politik kerajaan di Semenanjung. 

Ketua polis daerah Kuching, Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya telah menerima laporan itu.

Selain laporan polis, pengadu turut memfailkan aduan rasmi kepada EAIC bagi menyiasat unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan sumber manusia jabatan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen