malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Najib: Dulu Anwar puji rakyat menang, kini hati-hati
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa mengeluarkan teguran tersirat terhadap pihak yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib Razak untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Walaupun menghormati keputusan mahkamah namun Anwar berkata mereka yang tidak mempunyai simpati terhadap Najib dan keluarganya tidak wajar memburukkan keadaan atau meningkatkan ketegangan.

Pendirian itu menandakan perubahan ketara berbanding kenyataannya tiga tahun lalu, ketika Najib kehilangan rayuan terakhir dalam kes SRC International dan dihantar ke penjara pada 23 Ogos 2022.

Apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib, Anwar menyambut baik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai kemenangan rakyat yang menyingkirkan bekas perdana menteri itu melalui pilihan raya pada 2018.

“Ini membuktikan bahawa rakyat itu berkuasa. Rakyat membuat satu keputusan pada tahun 2018 untuk memastikan badan kehakiman bebas, dan membersihkan negara daripada rasuah,” katanya pada satu mesej video yang masih dimuat naik di media sosial sehingga hari ini.



Ketika itu, Anwar yang masih ketua pembangkang berkata kemenangan rakyat pada 2018 membolehkan pendakwaan profesional serta badan kehakiman berani membuat keputusan berasaskan fakta dan undang-undang, bukan kehendak politik.

Dia turut berkata wujud rasa “lega” dan mengucapkan terima kasih kepada para hakim atas keputusan tersebut.

Kenyataannya ketika itu selari dengan sentimen sama yang pernah disuarakannya pada 2020, apabila Najib pertama kali disabitkan kesalahan.


BACA BERKAITAN:

Anwar tak ada sebut 'pendakwaan cacat' dari 2018 hingga 2022


Sementara itu, selepas Najib gagal dalam rayuan terakhirnya, Anwar ketika itu turut dilihat tidak memberi perhatian terhadap gesaan supaya bekas perdana menteri itu diberikan pengampunan diraja.

Lebih awal lagi, pada 2019 ketika kempen pilihan raya kecil Rantau, Anwar malah berseloroh mengenai kemungkinan Najib mengambil alih sel penjara lama Presiden PKR itu di Penjara Sungai Buloh.

Pemuda Umnon berdemonstrasi bantah kenyataan Yeo Bee Yin.

Tiga tahun kemudian, Anwar menjadi perdana menteri dengan mengetuai kerajaan gabungan yang turut merangkumi parti Najib iaitu Umno dan perlu mengekalkan keseimbangannya.

Kini, Anwar mengambil nada berbeza susulan kemarahan Umno terhadap kenyataan Ahli Parlimen Puchong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Yeo Bee Yin, yang menyifatkan penafian tahanan rumah terhadap Najib sebagai “satu lagi sebab untuk meraikan” penghujung tahun.

Najib disabitkan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC International melibatkan RM42 juta.

Pada asalnya Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Pada awal 2024, Anwar mengakui dia memastikan permohonan pengampunan Najib didengar oleh Lembaga Pengampunan.

Kemudian pada Januari 2025, Anwar menjelaskan pengalaman peribadinya dipenjara menyebabkan dia tidak mahu memperlakukan Najib dengan cara sama.

Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada hari terakhir baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 29 Jan 2024, memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun.

Gambar fail, kenderaan penjara membawa bekas perdana menteri Najib Razak hadir perbicaraan di mahkamah.

Pada hari sama, Sultan Abdullah di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan mengeluarkan satu titah tambahan yang membenarkan Najib menjalani tahanan rumah.

Titah tambahan diraja itu menjadi subjek kes Mahkamah Tinggi pada Isnin, apabila hakim memutuskan titah tersebut tidak sah.

Ini kerana ia tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan Agong hanya boleh memberikan pengampunan selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.

Najib kini merayu keputusan tersebut.

Dalam perkembangan lain, seorang hakim berasingan dijadual menyampaikan keputusan dalam perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan Najib pada Jumaat ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen