malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aktivis Singapura, bekas peguam M Ravi meninggal dunia
Diterbitkan:  Dec 24, 2025 1:26 PM
Dikemaskini: 5:26 AM
ADS

Aktivis Singapura dan bekas peguam M Ravi yang terkenal kerana menangani kes-kes hak asasi manusia dan kerja pro bononya, meninggal dunia pada usia 56 tahun, pada awal pagi ini, dengan polis membuka siasatan berhubung kematiannya itu, lapor The Straits Times.

Ravi, atau nama penuhnya ialah Ravi Madasamy, dilahirkan pada 1969 dan menjadi peguam selama lebih 25 tahun.

Akhbar Singapura itu turut memetik beberapa peguam tempatan yang memberi reaksi terhadap berita kematian Ravi.

Mendiang Ravi Madasamy

Peguam Eugene Thuraisingam, menyifatkan Ravi sebagai seorang sahabat, dan berkata: “Dia melalui pelbagai cabaran, namun sentiasa setia kepada perjuangannya. Kes-kes yang dihujahkannya telah membantu membentuk undang-undang perlembagaan di Singapura.”

“Dia telah menyumbang kepada profesion guaman dan akan dirindui,” kata Eugene.

Seorang lagi peguam, Shashi Nathan, turut mengulas sumbangan Ravi dalam bidang undang-undang.

“Ravi sering bersifat memecahbelahkan dan menentang arus. Namun jauh di lubuk hati, saya sentiasa merasakan dia mempunyai hati yang baik dan mahukan yang terbaik untuk anak guamnya.

“Dia tidak gentar dalam advokasinya dan sering melangkaui batas kebiasaan,” kata Shashi.

Menurut Straits Times, Ravi pernah memberitahu wartawan pada 2005 bahawa bapanya, yang meninggal dunia pada 2003, merupakan seorang peminum arak dan sering keluar masuk penjara sepanjang hayatnya.

Ibunya pula adalah seorang buruh binaan yang meninggal dunia pada 2000 pada usia 59 tahun.

Ketika masih berkhidmat sebagai peguam, Ravi antara lain pernah mewakili rakyat Malaysia yang berada di penjara hukuman mati di Singapura atas kes pengedaran dadah, termasuk K Datchinamurthy.

K Datchinamurthy

Lelaki berusia 39 tahun itu telah dihukum gantung pada 25 Sept kerana menyeludup 44.96 gram diamorfin ke republik tersebut.

Menurut laporan sama, Ravi juga berjaya membantu membatalkan keputusan pada 2018 yang menyelamatkan kliennya, warga Malaysia Gobi Avedian, daripada hukuman mati.

Gobi ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Disember 2014 kerana mengimport 40.22 gram heroin.

Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan pada 2017, namun keputusan itu kemudian dibatalkan di peringkat rayuan, sekali gus mendedahkannya kepada hukuman mati.

Pada 2020, Ravi berjaya memohon semakan kehakiman yang membawa kepada pengembalian semula hukuman asal terhadap Gobi.

Gobi Avedian

Menjelang penghujung kerjaya guamannya, Ravi dilaporkan berdepan beberapa tindakan tatatertib termasuk denda serta digantung daripada mengamalkan undang-undang selama lima tahun pada 2023 kerana membuat "tuduhan serius dan tidak berasas tentang salah laku" terhadap Peguam Negara, pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Persatuan Guaman (LawSoc).

Walaupun begitu, dia turut menerima pengiktirafan antarabangsa pada 2023 apabila dianugerahkan Award for Outstanding Contribution terhadap Hak asasi Manusia oleh Persatuan Peguam Antarabangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen