malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Rujuk mangsa rogol statutori ke jabatan agama bercanggah Perlembagaan'
Diterbitkan:  Dec 24, 2025 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM
ADS

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengingatkan polis bahawa tindakan merujuk kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam kes rogol statutori kepada pihak berkuasa agama Islam untuk diambil tindakan adalah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, memandangkan undang-undang jenayah terletak di bawah Senarai Persekutuan.

Ini susulan kenyataan Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat minggu lalu bahawa kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun ke bawah yang ditangkap kerana melakukan hubungan seks secara suka sama suka akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) untuk tindakan lanjut di bawah mahkamah syariah.

Suhakam menegaskan bahawa memandangkan kes rogol termasuk dalam Senarai Persekutuan, siasatan mengenainya adalah di bawah bidang kuasa polis dan bukannya jabatan agama negeri.

Suhakam mengingatkan bahawa Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen

Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) wajib untuk memastikan semua kanak-kanak dilindungi

daripada eksploitasi dan penderaan seksual, dan kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah

menjadi pertimbangan utama dalam semua tindakan yang melibatkan mereka.

“Oleh itu, rogol statutori perlu ditangani sebagai suatu kesalahan jenayah serius terhadap kanak-kanak melalui proses yang sah di sisi undang-undang, sensitif terhadap kanak-kanak dan mematuhi prinsip hak asasi,” kata Suhakam dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 18 Dis, Yusoff dilaporkan berkata lima kes sedemikian telah dirujuk kepada Jaheaik setakat ini, selaras dengan titah Sultan Kelantan supaya polis bekerjasama dengan jabatan agama negeri dalam kes rogol statutori.

“Dalam tempoh dua bulan lepas, kita telah merujuk lima remaja perempuan yang terlibat dalam hubungan seks secara suka sama suka kepada Jaheaik untuk tindakan lanjut.

“Suspek lelaki telah didakwa di mahkamah, tetapi memandangkan tiada peruntukan undang-undang sedia ada untuk kanak-kanak perempuan, kita merujuk mereka kepada Jaheaik,” kata Yusoff yang dipetik sebagai berkata oleh media.

Pada September lalu, Yusoff mencetuskan kontroversi apabila dia secara peribadi mencadangkan supaya kanak-kanak perempuan yang terlibat dalam kes rogol statutori didakwa bersama pelaku lelaki dewasa.

Isu ini turut mencetuskan perbahasan dalam kalangan pakar undang-undang dan kebajikan kanak-kanak, yang berpendapat undang-undang perlu direformasi bagi menyediakan pendekatan menyeluruh apabila melibatkan remaja yang sebaya usia.

Walaupun menghormati undang-undang Islam dan institusi agama dalam kerangka perundangan dan sosial negara, Suhakam menegaskan kebimbangan utamanya adalah kebajikan kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam kes rogol statutori.

Yusoff Mamat

Tambahnya, kenyataan Yusoff berpotensi mencetuskan panik moral dan reaksi yang tidak berlandaskan kerangka undang-undang.

“Pendekatan yang hanya bergantung kepada hukuman mencerminkan kegagalan untuk mengiktiraf bahawa remaja merupakan kanak-kanak di sisi undang-undang, yang keupayaan mereka sedang berkembang, serta tahap kerentanan dan ketidakmatangan mereka, perlu difahami selaras dengan semangat dan tujuan Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Bukti secara konsisten menunjukkan bahawa langkah-langkah yang bersifat menghukum semata-mata bukan sahaja tidak berkesan dalam mencegah pengulangan atau peningkatan kes rogol statutori, malah berpotensi mengakibatkan kemudaratan lanjut terhadap kanak-kanak,” kata Suhakam.

Suruhanjaya itu juga menekankan keperluan semakan dan pembaharuan rangka kerja keadilan jenayah Malaysia agar lebih mencerminkan realiti kehidupan kanak-kanak dan remaja dalam sistem keadilan, yang kebanyakannya berhadapan dengan masalah sosioekonomi, keganasan dan pengabaian.

Dalam aspek pencegahan jenayah, Suhakam berkata, kerajaan harus mengambil pendekatan berteraskan kanak-kanak dan berasaskan hak, termasuk pengalihan daripada penahanan serta pengukuhan intervensi sosial yang melibatkan keluarga, sekolah dan rangkaian sokongan komuniti.

“Dalam hal ini, Suhakam menegaskan bahawa pembaharuan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah adalah perlu bagi menggalakkan perubahan tingkah laku yang positif, memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan menyokong pemulihan.

“Ini selaras dengan prinsip perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen