Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menyatakan hanya individu yang berdaftar dengan majlis itu serta lulus dari universiti diiktiraf dibenarkan mengamalkan perubatan di negara ini.
Walaupun tiada sekatan dikenakan terhadap graduan universiti tidak diiktiraf daripada menggunakan gelaran “Dr” di hadapan nama masing-masing, MMC menjelaskan penggunaan gelaran itu tidak memberi hak untuk mengamalkan perubatan di Malaysia.
“Hanya mereka yang mematuhi Akta Perubatan 1971 dan peraturan yang dibuat di bawah peruntukan tersebut dibenarkan mengamalkan perubatan di negara ini.
“Bagi mereka yang menamatkan pengajian daripada program yang tidak tersenarai di bawah Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, mereka perlu mematuhi peraturan tertentu sekiranya mahu beramal di Malaysia.

“Ini termasuk lulus peperiksaan tertentu dan menjalani latihan pascasiswazah di universiti Malaysia yang diiktiraf,” kata MMC pada satu kenyataan.
“Secara umumnya, sesiapa yang mahu mengamalkan perubatan di Malaysia perlu berdaftar dengan MMC serta memiliki Sijil Amalan Tahunan,” tambah majlis itu.
Pada 21 Dis, Ahli Jawatankuasa Penerangan Pusat PAS, Nurul Islam Yusoff menggesa Menteri Belia dan Sukan Taufiq Johari menjelaskan penggunaan gelaran “Dr” di hadapan namanya walaupun dia graduan universiti tidak diiktiraf.
Nurul Islam dipetik media tempatan membuat gesaan itu selepas mendapati Taufiq tidak berdaftar dengan MMC dan memperoleh ijazah perubatannya dari Universitas Islam Bandung — yang tidak diiktiraf oleh Malaysia.
Dia juga menggesa Taufiq menjelaskan dakwaan menteri berkenaan pernah berkhidmat sebagai doktor di sebuah klinik di Sungai Petani.

