Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga tempatan dipukul oleh individu dipercayai anggota polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting di Selangor bulan lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 18 Nov.
Dia berkata wanita berusia 39 tahun itu mendakwa menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit yang memaparkan anaknya ditampar oleh individu memperkenalkan diri sebagai polis.
“Menurut laporan itu, anak pengadu ditampar beberapa kali dengan tujuan ingin mencari barang bukti. Bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan perkara itu berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Sufian berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dia meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mereka mempunyai maklumat kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat 03-3187 2222 untuk membantu siasatan.
-Bernama

