malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Naskhah siasah yang hidup: Zulkifli harapan baru Madani
ADS

ULASAN | Pelantikan Zulkifli Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini bukan sekadar satu rombakan kabinet biasa.

Bagi kami yang pernah menadah ilmu di bawah bimbingannya di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Zulkifli ialah sebuah perjalanan hikmah melibatkan perpindahan seorang murabbi dari dewan kuliah ke koridor tertinggi amanah negara.

Anak jati Felda Sungai Behrang itu bukan nama asing dalam dunia akademik.

Dengan latar belakang memiliki PhD dari Durham University serta kepakaran dalam undang-undang dan syariah, Zulkifli membawa watak ilmuwan yang tenang namun berfikiran tajam.

Zulkifli bukan sekadar mengajar; dia menghidupkan nilai-nilai yang disampaikan melalui lebih 100 penerbitan jurnal dan buku yang merangkumi isu tadbir urus, perundangan, dan masa depan masyarakat Islam.

Dalam neraca siyasah syar’iyyah, politik ditakrifkan sebagai usaha islah manusia bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Politik ialah instrumen untuk mendekatkan rakyat kepada kebaikan (salah) dan kejayaan (falah) (Ismail, 2024).

Melalui buku beliau seperti "The Future of Islamic Finance" dan "The Edinburgh Companion to Shariah Governance in Islamic Finance", Zulkifli telah lama meletakkan asas bahawa kepimpinan mestilah berteraskan integriti dan sistem semak dan imbang yang kuat.

Beliau kini memegang kuasa ilzam (mengikat) untuk memastikan setiap dasar agama di Malaysia berpaksi kepada maslahah umum.

Sebagai pakar yang menulis "Shariah Governance in Islamic Banks", beliau dijangka membawa anjakan paradigma. Institusi agama tidak lagi boleh sekadar "patuh syariah" secara teknikal, tetapi mesti mencapai objektif syariah yang memberi impak sosial yang adil.

Menterjemah aspirasi negara

Begitu juga dalam bidang perundangan melalui karyanya "Akta Profesion Guaman Syarie 2019", beliau mempunyai visi jelas untuk memartabatkan sistem mahkamah syariah di Malaysia.

Kepimpinan beliau turut didasari oleh elemen maqasid dakwah nabawiyah. Zulkifli bukan sekadar teknokrat, tetapi pendakwah yang berorientasikan hasil.

Memetik intipati perjuangan Rasulullah SAW seperti dalam kajian Prof Dr Abid Abdullah as-Subaiti, dakwah adalah tentang memberikan harapan.

Sebagaimana Rasulullah memberi khabar gembira tentang kemenangan besar di saat umat Islam sedang kesulitan menggali parit di Perang Khandaq, Zulkifli membawa visi optimis untuk mendepani cabaran zaman pascanormal melalui penulisan beliau "Covid-19 and the Future of Muslim Societies".

Beliau memahami bahawa dakwah hari ini perlu mesra belia sebagaimana kupasannya dalam "Student Union: A New Narrative of Student Activism".

Daripada seorang insan biasa yang memulakan langkah mendidik jiwa di Usim, kini Zulkifli memikul bebanan ummah di peringkat nasional.

Karya-karya Zulkifli seperti "Konsep Negara Madani Menurut Rashid al-Ghannoushi" dan "al-Taayush (Kebersamaan)" menjadi bukti bahawa beliau adalah figura yang tepat untuk menterjemahkan aspirasi Malaysia Madani melalui pendekatan Islam yang inklusif dan progresif.

Kami melihat prlantikan ini sebagai detik “ilmu bertemu amal".

Selamat berkhidmat buat Zulkifli – murabbi kami yang kini menteri kami.

Semoga amanah ini dijalankan dengan penuh ketakwaan demi memartabatkan syiar Islam dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.


AHMAD SYIHAN ISMAIL ialah pensyarah Jabatan Syariah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen