malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu Kemboja-Thailand: Malaysia anjur mesyuarat khas menteri luar Asean esok
ADS

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN akan menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN mengenai Situasi Terkini antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur pada 22 Dis.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan mesyuarat khas itu adalah susulan kepada persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kemboja dan Thailand pada 11 Dis lalu.

“Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Ia akan memberikan satu wadah kepada Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand, serta mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan dan kestabilan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu serta rantau ini secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata penganjuran Mesyuarat Khas terbabit mencerminkan komitmen terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN, serta pematuhan kepada Kepusatan ASEAN dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, selaras dengan Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia - TAC).

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memainkan peranan yang konstruktif dalam memudah cara dialog berlandaskan semangat ASEAN, dan dalam hal itu, untuk membantu kedua-dua pihak agar terus menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hubungan kejiranan yang baik termasuk kewujudan bersama secara aman, serta kerjasama dua hala dan pelbagai hala ke arah mencapai penyelesaian yang aman, adil dan berkekalan terhadap sebarang pertikaian,” menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen