malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib sambut tahun baru di rumah atau di penjara?
ADS

Minggu yang bakal tiba menjadi detik penting buat bekas perdana menteri yang kini dipenjarakan, Najib Razak, apabila mahkamah dijadualkan memutuskan permohonannya untuk menjalani tahanan rumah serta kes jenayah 1MDB yang dihadapinya.

Esok, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka menyampaikan keputusannya berhubung kes adendum diraja Najib.

Sekiranya keputusan memihak kepada Najib maka dia bakal menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Rekod mahkamah menunjukkan Hakim Alice Loke Yee Ching dijadualkan menyampaikan keputusan pada jam 9 pagi.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu wartawan pada 18 Dis bahawa bekas ahli parlimen Pekan itu mesti diberikan tahanan rumah serta-merta sekiranya mahkamah memutuskan kes berkenaan memihak kepadanya.

Sekiranya Najib berjaya dalam permohonannya untuk menjalani tahanan rumah tetapi pada masa sama disabitkan kesalahan dalam kes 1MDB, dia secara teknikal masih dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani tahanan rumah.

Ini kerana perintah tahanan rumah tersebut berkaitan dengan hukuman yang berasingan sepenuhnya, iaitu hukuman dalam kes SRC International.

Sementara itu, jika dia disabitkan kesalahan dalam kes 1MDB, Najib boleh secara automatik mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan serta memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuannya.

Permohonan Najib untuk tahanan rumah bermula pada 2024, susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya pada 1 April. Ia dibuat selepas Lembaga Pengampunan pada Februari mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International kepada enam tahun, serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Hukuman tersebut berpunca daripada sabitan kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, sebuah bekas anak syarikat dana kekayaan negara 1MDB.

Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud satu titah tambahan bertarikh 29 Januari yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, selain titah diraja utama yang mengurangkan hukumannya.

Permohonan itu bagaimanapun berdepan halangan apabila Hakim Amarjeet Singh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran Najib untuk meneruskan kes berkenaan pada 3 Julai. Keputusan tersebut kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari tahun ini dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos.

Pada pendengaran kes, mahkamah dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak terikat dengan nasihat Lembaga Pengampunan kerana baginda bukan pengerusi lembaga tersebut, sebaliknya hanya mempengerusikan mesyuarat berkenaan selaras dengan Perkara 42(8) Perlembagaan Persekutuan.

Dihujahkan juga, dengan merujuk kepada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikemukakan sebagai bukti oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), bahawa Yang di-Pertuan Agong pada awalnya berhasrat memberikan pengampunan penuh kepada Najib, walaupun mempertimbangkan nasihat jawatankuasa lembaga tersebut.

Sementara itu, Najib turut memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh pada 23 Mei, dengan mendakwa Terrirudin mempunyai pengetahuan langsung mengenai titah adendum itu namun enggan melaksanakannya.

Permohonan tersebut bagaimanapun ditolak pada 4 September selepas Hakim Loke memutuskan Najib gagal membuktikan prima facie bagi membolehkan kebenaran diberikan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah.

Kes 1MDB

Sementara itu, pada 26 Disember, Najib bakal mengetahui nasibnya dalam kes berkaitan 1MDB melibatkan RM2.3 bilion apabila Hakim Collin Lawrence Sequerah dijadualkan menyampaikan keputusannya pada jam 9 pagi di Istana Kehakiman.

Collin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan namun akan menyampaikan keputusan terakhirnya sebagai hakim Mahkamah Tinggi dalam kapasiti tersebut.

Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Perbicaraan kes itu bermula pada tahun berikutnya.

Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pertuduhan pengubahan wang haram pula difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib diarahkan membela diri terhadap pertuduhan berkenaan pada 30 Oktober 2024 selepas Collin memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Kes-kes lain

Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib sebelum ini berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi. Bagaimanapun, dia diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.

Najib didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana berkaitan SRC, yang dikenali sebagai kes SRC 2.0.

Dia didakwa menerima wang tersebut melalui tiga akaun perbankan AmPrivate Banking di AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan itu difailkan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bekas presien Umno itu diberikan DNAA pada 20 Jun tahun ini selepas Hakim K Muniandy memutuskan pihak pendakwaan gagal menunjukkan keupayaan untuk meneruskan kes berkenaan.

Najib dan bekas pengerusi 1MDB, Irwan Serigar Abdullah (gambar atas) turut didakwa bersama pada 25 Oktober 2018 atas enam pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan RM6.6 bilion dana kerajaan yang didakwa digunakan sebagai bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017.

Pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan DNAA mereka pada 27 November tahun lalu selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan beberapa dokumen sulit yang penting bagi persiapan pembelaan.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Najib juga didakwa pada 12 Disember 2018 kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan tindakan terhadap dirinya.

Pertuduhan itu difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 hingga 26 Februari 2016.

Ketika itu, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy turut didakwa kerana bersubahat di bawah Seksyen 28(1)(c) akta sama, dan kedua-duanya dibicarakan bersama pada 2019.

Namun, Mahkamah Tinggi membebaskan sepenuhnya kedua-dua mereka di akhir kes pendakwaan selepas mendapati tiada kes prima facie terhadap mereka.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen