malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zakat MAINPP agih bantuan lebih RM171 juta setakat Nov lalu
Diterbitkan:  Dec 21, 2025 8:50 AM
Dikemaskini: 12:50 AM
ADS

Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) telah mengagihkan lebih RM171.53 juta zakat setakat 30 Nov lalu, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Yang Dipertua MAINPP itu berkata jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 86 peratus daripada keseluruhan peruntukan agihan yang ditetapkan untuk tahun ini, iaitu RM199.75 juta.

“Angka itu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan dana zakat disalurkan dengan pantas dan tepat kepada mereka yang berhak.

“Ia sekali gus membuktikan ketelusan dan profesionalisme institusi zakat dalam melaksanakan amanah umat,” katanya pada perasmian penutup Kembara Zakat 2025 dan penyerahan sagu hati jawatankuasa kariah di Masjid Al-Huda, Sungai Ara, George Town malam tadi.

Berdasarkan prestasi memberangsangkan setakat ini, Mohamad juga yakin agensi itu dapat mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM200 juta bagi 2025.

Sehingga 30 Nov lalu, katanya, Zakat MAINPP berjaya mengumpulkan RM143.45 juta atau 72 peratus daripada sasaran keseluruhan.

Mohamad berkata pihaknya hanya memerlukan tambahan RM56.55 juta atau 28 peratus lagi sepanjang bulan Dis ini untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Prestasi kutipan zakat pada Dis 2024 memberi petunjuk positif apabila sebanyak RM43.87 juta berjaya dikutip, kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan kutipan tahunan 2024 berjumlah RM172.86 juta,” katanya.

Dalam usaha mempergiat kutipan, dia berkata MAINPP akan melancarkan kempen Zakat Sprint Month yang menawarkan peluang kepada pembayar zakat memenangi hadiah utama pakej menunaikan umrah, dengan bayaran zakat serendah RM500.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyerahkan sagu hati kepada 240 kariah di seluruh Pulau Pinang, dengan 806 orang jawatankuasa bagi setiap kariah menerima penghargaan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM504,200.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen