malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Isu UEC sukar capai penyelesaian kerana dihantui politik'
ADS

Ketika perdebatan mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hangat semula di pentas politik, dua tokoh veteran menyifatkan wacana itu semakin kucar-kacir oleh retorik dan agenda politik, tanpa banyak perkembangan untuk mencapai penyelesaian.

Eddin Khoo, yang merupakan bekas pengerusi Pasukan Petugas UEC yang sebelum ini ditubuhkan Kementerian Pendidikan, menyamakan isu itu dengan kisah dongeng pengembaraan Alice in Wonderland, yang menyaksikan kekeliruan berlaku dan perbincangan dasar substantif ditenggelamkan.

“Macam kita masuk lubang dan di situ kita bertemu dengan dua muka yang memang berselisih fahaman tetapi muka dia sama. Namanya Tweedledee dan Tweedledum.

“Dan asalkan kita sangkut kepada perbicaraan Tweedledee dan Tweedledum - malahan orang ramai termasuk ada mereka di parti-parti politik yang ingin mengangkat perbicaraan ini ke tahap yang lain supaya ia dapat sekali lagi membuka ruang untuk satu perbicaraan yang sangat mendalam tentang hala tuju sistem pendidikan nasional pada keseluruhannya yang merangkumi sekolah agama, sekolah swasta, sekolah antarabangsa - kita tak akan ke mana-mana,” katanya ketika tampil sebagai tetamu podcast 'Explain Sikit' teribitan KiniTV.

Menurut Khoo, apa yang pada asasnya merupakan isu yang kompleks tetapi teknikal telah sengaja dipolitikkan, diperkuatkan oleh bahasa yang berunsur emosi seperti membingkaikan pengiktirafan UEC sebagai “pengkhianatan”.

Ini, katanya, telah menjadikan perdebatan itu sebagai “dihantui politik”, di mana ketakutan dan simbolisme membayangi fakta dan kebolehlaksanaan.

“Saya rasa isu ini memang dihantui oleh politik. Saya terpaksa bongkar juga semasa pasukan petugas khas UEC ini menjalankan tugas, ada banyak provokasi daripada orang politik.

“Tetapi saya menganggap ini sebagai isu nasional…

“Jadi saya rasa isu ini yang saya tekan lagi merupakan isu teknikal tetapi menjadi rebutan dan hantu politiklah sekian lama. Dan retorika itu pun menjadi begitu,” katanya.

Laporan tak sempat dibentang

Khoo berkata bahawa semasa tempoh perkhidmatannya, pasukan petugas itu telah menyediakan laporan komprehensif susulan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Dong Zong dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

“Sebab saya telah menyeru, saya telah beritahu, kebanyakan daripada ahli jawatan kuasa ini, dia agak terpencil daripada isu (UEC). Dia tidak mendekati, misalnya, mereka yang terlibat dalam isu ini. Jadi, saya akan cuba mengikut budaya jawatan kuasa yang lain.

“Kita nak mendemokrasikan proses itu. Jadi, kita berhubung, kita memanggil dan satu sekretariat telah tertubuh. Sebab kita cuba berinteraksi dengan pemegang taruh. Biar pakar akademik, biar kumpulan yang telah menyuarakan pendapat, Dong Zong, Isma, semua telah diundang. Dan transkripsinya masih ada di Kementerian Pendidikan.

“Jadi, orang lain pun telah meminta untuk berjumpa atau bertemu. Jadi, enam bulan itu jadi sembilan bulan. Dan akhirnya, kita ambil masa satu tahun.

“Kita juga telah menganjurkan dua sesi town hall. Di mana semua kumpulan ini datang bersemuka dan satu sama lain untuk ada perbincangan. Mereka yang memang musuh-musuh duduk bersama di Kementerian Pendidikan di Putrajaya,” katanya.

Walau bagaimanapun, laporan itu tidak pernah dibentangkan secara rasmi disebabkan oleh perubahan dalam kerajaan dan gangguan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Ketiadaan platform rasmi untuk membentangkan dapatan tersebut, kata Khoo, membolehkan naratif politik mendominasi sambil mengetepikan penyelesaian teknikal yang telah diterokai.

Pakatan Harapan (PH) berikrar dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti awam, dengan syarat pemohon memperoleh kredit dalam Bahasa Malaysia peringkat SPM, dengan UEC dinilai setara dengan kelayakan kemasukan umum sedia ada.

Sementara itu, Khoo juga menegaskan bahawa pengiktirafan UEC tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan, dengan alasan bahawa undang-undang tertinggi sengaja dirangka untuk membolehkan pelbagai tafsiran mengenai perkara tertentu.

Perlu pendekatan rasional

Veteran DAP Teng Chang Kim, yang turut muncul di podcast KiniTV, menyokong pandangan Khoo dan menolak hujah yang memetik Perkara 152 untuk menentang pengiktirafan UEC.

“Jika kita melihatnya, ramai orang merujuk kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, tetapi mereka berbuat demikian tanpa benar-benar membacanya.

“Malah, Perkara 152 bukan sahaja melindungi dan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; ia juga melindungi hak bahasa lain untuk dipelihara oleh kerajaan.

“Pemeliharaan, dalam erti kata ini, bukan sekadar bermaksud penyelenggaraan, tetapi juga pengiktirafan, kerana kita ingin memelihara bahasa-bahasa ini pada standard yang boleh diterima di peringkat antarabangsa, bukan sahaja di peringkat tempatan kita sendiri.

“Oleh itu, pada pandangan saya, ini sama sekali tidak bercanggah dengan Perkara 152, malah, ia dilindungi oleh peruntukan itu,” kata Teng.

Perkara 152, yang mengesahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sering disebut oleh pengkritik pengiktirafan UEC sebagai bukti bahawa sijil itu menjejaskan status perlembagaan bahasa tersebut.

Teng menolak tanggapan ini, dengan mengatakan bahawa masyarakat Cina telah mengambil pendekatan pragmatik dengan memasukkan bahasa kebangsaan ke dalam sistem pendidikannya.

Dia menyatakan bahawa kira-kira 95 peratus pelajar UEC lulus Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM, yang katanya menunjukkan bahawa penguasaan bahasa kebangsaan tidak diabaikan dan terus diperkukuh dalam kalangan generasi bukan Melayu yang lebih muda.

Teng dan Khoo bersetuju bahawa penyelesaian isu ini memerlukan pendekatan yang rasional dan berasas dan bukannya pertimbangan politik jangka pendek.

“Ramai yang tertumpu pada bagaimana mereka boleh memaksimumkan sokongan dengan menjadikan isu ini sebagai alat politik. Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sangat memalukan bagi kita sebagai sebuah negara,” kata Teng, sambil menambah bahawa perdebatan yang berpanjangan sedemikian tidak sesuai untuk sebuah negara yang telah merdeka selama beberapa dekad.

Dia menyifatkan isu ini sebagai “bola” yang dilontarkan antara gabungan pesaing semasa kitaran pilihan raya untuk menggerakkan sokongan pengundi, sambil mengelakkan penglibatan dasar yang berterusan.

Khoo berkata dinamik inilah yang membuatkan negara terperangkap dalam perdebatan yang tidak berkesudahan.

Daripada menangani soalan teknikal mengenai syarat kemasukan universiti dan matlamat pendidikan negara, dia berkata, perbincangan itu berulang kali bertukar menjadi teater politik, meminggirkan isu yang telah berusia beberapa dekad tidak dapat diselesaikan walaupun terdapat laluan ke hadapan yang boleh dilaksanakan dan kukuh dari segi perlembagaan.

Pengkritik menuduh DAP menghidupkan semula isu pengiktirafan UEC susulan kekalahan parti itu di pilihan raya negeri Sabah pada pilihan raya negeri yang lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh penolakan oleh pengundi Cina yang kebanyakannya penduduk bandar.

Pada 12 Dis, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang menjawab isu pengiktirafan UEC, mengingatkan semua pihak bahawa sebarang tuntutan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum atau etnik mesti mempertimbangkan kedudukan perlembagaan bahasa kebangsaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen