malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tabung #JusticeForZara tidak disalah guna - Setiausaha
Diterbitkan:  Dec 20, 2025 4:24 PM
Dikemaskini: 9:22 AM
ADS

Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah menegaskan bahawa Tabung #JusticeForZara diurus sepenuhnya secara telus dan akauntabiliti bagi membantu keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Ia susulan kritikan terhadap pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Marhamah sebelum ini berdepan tuduhan oleh sesetengah pihak berhubung penglibatannya dalam tabung “Justice For Zara”.

Setiausaha pertubuhan itu, Sitti Fhaizah Mukthar berkata semua kutipan dana direkodkan dengan teliti dan digunakan hanya untuk tujuan yang telah ditetapkan termasuk kos dokumentasi, khidmat kepakaran, logistik, penginapan serta keperluan mesyuarat dan operasi berkaitan.

“Setiap perbelanjaan disertakan dengan resit dan dokumen rasmi bagi memastikan akauntabiliti sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.

Menurut laporan ringkas tabung berkenaan, Sitti berkata kutipan dana yang dijalankan dari 8 hingga 12 Sept 2025 merekodkan jumlah terkumpul sebanyak RM255,016.27, dengan perbelanjaan berjumlah RM162,155.87, manakala baki semasa setakat 18 Dis adalah sebanyak RM94,096.97.

Untuk rekod, pada 17 Disember, Marhamah berkata setakat pagi itu, tabung berkenaan berjaya mengutip dana sebanyak RM254,995.92, dengan baki RM96,059.97 selepas perbelanjaan.

Sitti berkata perbelanjaan melibatkan kos kepakaran dan konsultasi profesional berjumlah RM82,747.35, diikuti logistik dan perjalanan sebanyak RM40,435.54 serta penginapan RM22,119.28.

Selain itu, perbelanjaan bagi dokumentasi dan komunikasi direkodkan sebanyak RM12,497, keperluan mesyuarat dan operasi RM4,135.70 serta caj dan kos pentadbiran RM221.

Dia turut menjelaskan Tabung #JusticeForZara diuruskan melalui sebuah akaun khas di bawah nama pertubuhan selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus kewangan yang baik.

Sitti berkata semua maklumat dan rekod kewangan Tabung #JusticeForZara telah didedahkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan laporan kewangan boleh disemak oleh pihak berkuasa atau penderma berkepentingan melalui saluran rasmi.

Marhamah dilaporkan antara individu awal yang memberikan sokongan kepada Noraidah Lamat selepas kematian anak perempuannya, Zara Qairina Mahathir, seorang pelajar sekolah menengah agama di Papar, yang disahkan meninggal dunia pada 17 Julai susulan dakwaan dibuli.

Sebelum ini, Marhamah menjelaskan bahawa walaupun dia memulakan gerakan #JusticeForZara, akaun tahung tersebut adalah berasingan dan tidak digabungkan dengan mana-mana akaun NGO lain yang melibatkannya.

Sebaliknya, kata Marhamah, ia mempunyai penandatangan yang disahkan, termasuk Noraidah, beberapa peguam, dan jawatankuasa NGO.

Aktivis kebajikan dan masyarakat itu juga menafikan tuduhan yang tersebar di media sosial yang mengaitkannya dengan penipuan berkaitan emas, dengan mengatakan dirinya adalah mangsa yang telah diperdaya dan dikhianati dalam kes tersebut.

Bapa saudara Marhamah, Badrulamin Bahron, yang juga pemimpin PKR sebelum ini tampil memmpertahankan anak saudaranya itu susulan keraguan yang ditimbulkan terhadapnya dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai penyertaannya dalam kerajaan persekutuan.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Marhamah telah memberikan penjelasan “komprehensif” susulan kritikan terhadap pelantikannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen