malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRK Kinabatangan, Lamag: Berunding jalan terbaik, kata BN
Diterbitkan:  Dec 20, 2025 2:26 PM
Dikemaskini: 6:26 AM
ADS

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan anak bekas Allahyarham Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan, dinamakan sebagai calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada Mohd Naim selain turut mengarahkan dia memulakan gerakan kempen bagi memastikan kerusi tersebut kekal menjadi milik BN.

“Sebagaimana diketahui, GRS tidak akan meletakkan calonnya, dan saya telah menghubungi Ketua Menteri Sabah mengenai perkara itu dan begitu juga beberapa parti lain, mungkin tidak akan meletakkan calon kerana mereka baru saja menghadapi pilihan raya negeri.

“Jadi mungkin jalan terbaik ialah untuk berunding, lagipun PRU ke-16 mungkin kurang dari dua tahun, jadi saya fikir eloklah tenaga itu disimpan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pengumuman pakej lengkap Desa Kirana di Sekinchan hari ini.

Ditanya kemungkinan BN bakal menang mudah di kerusi berkenaan, Ahmad Zahid berkata, pihaknya mengambil pendekatan untuk tidak memandang rendah suasana politik di Sabah.

“Kita jangan pernah ambil mudah terhadap kemenangan, kita tidak tahu mungkin ada calon bebas akan menawarkan diri, mungkin ada parti-parti kecil di Sabah juga akan menawarkan diri.

“Tetapi sebaik-baiknya kita berikanlah peluang kepada saudara Naim untuk menang kerana beliau hanya melaksanakan baki perkhidmatan Allahyarham, jadi saya harap ada kesinambungan,” katanya.

Mengulas mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Presiden Umno itu berkata pengumuman calon dan rundingan berkaitan perkara berkenaan akan diuruskan Pengerusi Umno Sabah Jaffry Ariffin.

Katanya setakat ini BN dikemukakan beberapa nama dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

‎Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah meninggal dunia pada 5 Dis lepas.

‎Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen