Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) tegas menolak desakan DAP yang mahukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf kerajaan dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai “langkah ke belakang” dalam reformasi pendidikan negara.
Bercakap selepas menyerahkan memorandum kepada DAP di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini, Presiden Gamis Azamuddin Sahar berkata UEC tidak selari dengan asas pendidikan negara, termasuk sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Azamuddin turut mendakwa UEC tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Memadai untuk negara ini mempunyai satu sistem pendidikan yang bersepadu, iaitu dengan mengiktiraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai laluan ke pelbagai industri.
“Saya sebenarnya mengalu-alukan respons DAP, terutamanya apabila ia dibingkaikan berasaskan fakta dan bukti, dan kami terbuka untuk berdialog,” katanya.
Dalam memorandum itu, Gamis menuntut semua perbincangan mengenai UEC dihentikan serta-merta dan DAP menghormati konsensus nasional serta kerangka perlembagaan dalam dasar pendidikan.

Kumpulan itu juga menuntut DAP memberi penjelasan terbuka mengenai implikasi tuntutan mereka terhadap perpaduan nasional dengan mendakwa kempen ini satu taktik mengalih perhatian daripada isu mendesak negara.
“Kami tidak mahu isu ini dipolemikkan terlalu lama hingga menenggelamkan isu lain.
“Kami percaya isu ini mungkin dibangkitkan untuk mengalih perhatian daripada kes yang sepatutnya melibatkan Pejabat Perdana Menteri, khususnya isu rasuah dan lain-lain,” kata Azamuddin.
Dia turut menjelaskan memorandum itu ditujukan kepada DAP dan bukan KPM kerana mereka melihat parti terbabit sebagai pendesak utama pengiktirafan UEC.
Azamuddin juga memberi perigatan yang memorandum tersebut adalah “amaran awal” daripada mereka dan tindakan lanjut akan diambil jika desakan pengiktirafan UEC diteruskan.
“Jika amaran ini diabaikan dan isu ini berterusan, gelombang yang lebih besar akan datang.
“Seperti yang saya sebutkan, jika ada rasa tidak puas hati atau kebimbangan, kami mengalu-alukan dialog,” katanya.
Memorandum itu diterima Setiausaha Eksekutif Pendidikan Politik DAP, Teih Jian Peng, yang berkata parti itu akan meneliti dan membincangkan kandungan memorandum berkenaan.
Penyerahan memorandum dan sidang media berlangsung dengan kawalan ketat polis.

