Bekas pemimpin PKR dan penceramah, Badrulamin Bahron mempertahankan anak saudaranya, Marhamah Rosli, susulan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baru.
Ia berikutan kritikan terhadap Marhamah dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membawa aktivis itu menyertai pentadbiran, dengan pelbagai dakwaan mengenai latar belakangnya dibangkitkan di media sosial.

Dalam hantaran di Facebook, Badrulamin menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh orang ramai, khususnya peranan Marhamah dalam kempen “Justice for Zara ” serta kutipan derma untuk keluarganya.
Marhamah turut dituduh terlibat dalam penipuan pelaburan emas dan gerakan ‘New Age’.
Menurut Badrulamin, Marhamah dan NGO yang terlibat dalam kutipan derma bagi keluarga remaja perempuan berusia 13 tahun itu telah mendapat permit daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah, selain pihak polis turut dimaklumkan berkenaannya.

“Audit dalaman juga telah dibuat dan dilaporkan kepada pihak polis.
“Dana digunakan untuk membantu keluarga dan saksi hadiri persiapan dan mesyuarat berkaitan inkues dan prosiding mahkamah.
“Tiada nama Marhamah dalam akaun tersebut, sebaliknya nama para peguam, ibu zara dan wakil NGO,” kata Badrulamin.
‘Marhamah juga mangsa’
Berhubung dakwaan yang timbalan menteri baru itu terlibat dalam penipuan pelaburan emas — yang dikatakan menyebabkan kerugian berjumlah RM14 juta — Badrulamin mendakwa Marhamah turut menjadi mangsa dalam kes berkenaan.
Dia berkata anak saudaranya bukan ejen skim tersebut dan telah memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis.
Dia turut menyangkal dakwaan bahawa Marhamah mengamalkan ajaran ‘New Age’, yang diingatkan sejumlah tokoh agama sebagai bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Katanya, kaitan antara Marhamah dengan gerakan tersebut hanyalah soal persepsi dan “tidak ada bukti daripada mana-mana pihak, apatah lagi pengakuan daripada Marhamah sendiri bahawa dia penganut ajaran ‘New Age’.”

Badrulamin menjelaskan isu itu timbul kerana penglibatan Marhamah dalam program dan dialog yang bersifat “kerohanian universal”.
“Penggunaan bahasa atau simbol yang ditafsir sebagai selari dengan konsep ‘New Age’ - pendekatan interfaith/liberal spirituality yang tidak jelas batas akidah.
“Kesimpulan - Islam mendidik kita agar mengamalkan konsep keseimbangan, namun Islam juga menekankan aspek hikmah dan tabayyun – semak fakta, elak fitnah - tegas dalam akidah, lunak dalam muamalah - menilai idea dan pendekatan, bukan menghukum niat tanpa bukti,” katanya lagi.
Malaysiakini telah menghubungi Marhamah untuk mendapatkan responsnya.

Semalam, Anwar mengumumkan rombakan kabinet besar-besaran yang menyaksikan dua menteri digugurkan manakala beberapa yang lain ditukar portfolio.
Pengumuman itu turut menyaksikan beberapa muka baru dilantik, termasuk Marhamah, seorang ustazah dari Sabah yang memiliki ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

