Kabinet baharu telah diumumkan, mengundang pelbagai reaksi.
Perdana menteri kekal memegang portfolio menteri kewangan. DAP diberikan portfolio yang lebih ‘strategik’, manakala Umno kelihatan sekadar berpuas hati dengan posisi yang diberikan.
Dari sudut politik, susunan ini menimbulkan persoalan sama ada kabinet dibentuk atas pertimbangan merit, atau demi mengekalkan ‘konsesi politik’ kerajaan madani yang kelihatan semakin rapuh.
Tumpuan perlu diberikan kepada dua kementerian dengan bajet terbesar, iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Turut perlu diberikan perhatian adalah dua kementerian dengan ‘agenda’ terbesar DAP, iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Wilayah, khususnya berkaitan isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibantah banyak pihak.
Ujian sebenar kabinet terletak pada ukuran prestasi dan persepsi di mata rakyat.
Dalam masa terdekat, isu ekonomi, rasuah, ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) serta polemik URA dan Sijil Tinggi Persekolahan Cina (UEC) menuntut pendirian yang tegas; justeru kabinet perlu lulus ‘ujian bunyi’ untuk sekian kalinya.
Selamat bertugas!
SYAHIR SULAIMAN adalah anggota parlimen Bachok.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

