Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Arahan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menerusi sepucuk surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, yang diperoleh media hari ini.
“Merujuk kepada arahan Yang Amat Arif Presiden Mahkamah Rayuan kepada kedua-dua pihak yang telah diberikan di mahkamah terbuka pada 12 Dis 2025, pihak perayu (pendakwaan) telah mendapatkan pandangan serta arahan daripada Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) berhubung perkara ini.
“Peguam Negara telah mengarahkan supaya rayuan ini diteruskan serta apa jua keputusan mahkamah hendaklah diterima. Sehubungan itu, pihak perayu mengekalkan hujahan bertulis dan hujahan lisan yang telah dikemukakan dalam rayuan ini. Segala pertimbangan, budi bicara dan kerjasama dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih,” menurut surat berkenaan.
Ketika dihubungi, Wan Shaharuddin yang yakin dengan kekuatan kes pendakwaan berkata surat itu telah dihantar kepada mahkamah pada 9.10 pagi tadi.
"Kami (pendakwaan) dan peguam telah berhujah berkenaan isu-isu penting bagi rayuan ini, oleh itu kami serahkan kepada kebijaksanaan panel hakim Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan," katanya yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 12 Dis, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan terhadap pembebasan bekas Menteri Belia dan Sukan itu selepas pihak-pihak selesai berhujah.
Dalam situasi yang jarang berlaku, Abu Bakar berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan itu atau sebaliknya.
Hakim Abu Bakar, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata semasa beliau bertugas sebagai timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara, menjadi kebiasaan untuk mereka mengadakan mesyuarat dan menyemak semula hujahan.
Pada 25 Jun, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.
Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Beliau turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Selain itu, beliau turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.
- Bernama

