malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Keutamaan membentuk kabinet 'bebas syubhah'
ADS

ULASAN | Mutakhir ini ruang awam kita hangat dengan perbincangan mengenai perlantikan jawatan strategik dalam pentadbiran kerajaan Madani. Kegelisahan masyarakat mengenai isu integriti dan ketulenan pegangan tidak boleh dipandang sepi.

Sebagai masyarakat madani, wajar untuk kita menelusuri isu ini bukan dengan emosi semata-mata, tetapi melalui lensa maqasid dakwah.

Terdapat beberapa prinsip utama digariskan dalam sirah yang boleh dijadikan panduan dalam melantik kepimpinan dan mengurus persepsi awam.

Dalam sirah, Rasulullah SAW sangat menitikberatkan penjagaan nama baik dan reputasi gerakan Islam agar tidak dicemari. Baginda sentiasa berusaha menjelaskan perkara yang boleh menimbulkan syak wasangka atau fitnah demi mengelakkan masyarakat menjauhkan diri daripada agama.

Jika seseorang pemimpin agama terpalit dengan kontroversi dan ia belum diselesaikan, ia berisiko mencalarkan imej institusi agama itu terbabit.

Justeru dalam sirah dikisahkan bagaimana baginda SAW sanggup tidak menghukum ketua munafik demi menjaga reputasi dakwah agar tidak timbul persepsi buruk dalam kalangan orang luar.

Maka, melantik tokoh yang bersih daripada persepsi negatif adalah sebahagian daripada aspek menjaga maslahah dakwah.

Antara maqasid utama dakwah ialah membetulkan akidah dan merealisasikan tauhid yang murni. Rasulullah SAW sentiasa memelihara agama daripada sebarang bentuk penyelewengan, bidah, atau fahaman yang boleh merosakkan tauhid.

Setiap keputusan perlu teliti

Sebarang keterlibatan pimpinan dengan fahaman yang meragukan memerlukan penjelasan tuntas atau pembersihan nama sebelum memegang amanah kerana memelihara agama daripada penyelewengan adalah tuntutan utama.

Dalam menguruskan masyarakat - terutamanya apabila timbul berita atau dakwaan tertenti - Islam menuntut pengesahan (tabayyun). Rasulullah tidak tergesa-gesa menghukum berdasarkan khabar angin, sebaliknya mengutuskan wakil untuk menyelidik kesahihan sesuatu berita.

Masyarakat berhak menuntut penjelasan. Jika dakwaan tersebut benar, ia melibatkan hak manusia dan harta yang perlu diselesaikan. Namun, keadilan juga menuntut agar siasatan dibuat dengan teliti sebelum menghukum.

Bagaimanapun, untuk jawatan awam, piawaian "bebas daripada syubhah" adalah lebih tinggi keutamaannya.

Tujuan besar dakwah dalam masyarakat ialah untuk menghapuskan kekacauan dan menyatukan hati. Pelantikan yang mencetuskan polemik berpanjangan boleh menggugat keamanan dalaman, bahkan memecahbelahkan kesatuan umat.

Jika sesuatu perlantikan itu membawa lebih banyak mafsadah (kerosakan) berbanding maslahah (kebaikan), maka prinsip islah menuntut agar keputusan tersebut diteliti semula demi keharmonian awam.

Perlantikan dalam kabinet bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, tetapi ia adalah amanah untuk menegakkan syiar. Berdasarkan model sirah, pemimpin perlu mempunyai kredibiliti yang tidak menjadi fitnah kepada agama yang dibawa.

Dalam kita menimbang kontroversi yang ada, model maqasid dakwah juga mengajar kita untuk melihat potensi positif dan kriteria kepimpinan yang membawa kemaslahatan kepada ummah:

1. Al-Kafa’ah (Kepakaran khusus dan khidmat kepada masyarakat): Setiap individu dalam sirah dilantik berdasarkan kekuatan unik mereka. Khalid al-Walid dilantik sebagai panglima kerana ketangkasannya, manakala Mu’adz Jabal dihantar ke Yaman kerana kepakarannya dalam halal dan haram.

Jika pelantikan ini didasarkan pada kepakaran akademik, kemahiran pengurusan, atau sumbangan kebajikan yang telah terbukti, maka itu adalah satu kemaslahatan yang diiktiraf. Kita perlu menilai sejauh mana kemahiran profesional seseorang dapat membantu memacu institusi agama ke arah yang lebih dinamik.

2. Tazkiyah al-Nafs (Ruang untuk islah dan perubahan): Model dakwah Rasulullah sentiasa memberi ruang kepada individu untuk melakukan pembaikan diri (islah). Ramai sahabat besar yang pada asalnya menentang atau mempunyai latar belakang yang mencabar sebelum mereka memeluk Islam lalu menjadi tunggak dakwah.

Jika isu-isu masa lalu telah melalui proses penjelasan, permohonan maaf, atau pembetulan secara syarak, maka Islam mengajar kita untuk mengutamakan semangat islah. Menghargai perubahan positif seseorang adalah sebahagian daripada akhlak dakwah yang tinggi.

3. Ta’lif al-Qulub (Keupayaan mendekati golongan sasaran): Antara matlamat dakwah ialah menjinakkan hati masyarakat. Kadangkala, tokoh yang mempunyai pengaruh dalam dunia hiburan atau media sosial mempunyai "bahasa" yang lebih mudah difahami oleh generasi muda.

Sekiranya tokoh dalam kabinet ini mampu menjadi jambatan untuk menarik golongan yang selama ini jauh dari institusi agama, maka ia adalah satu kelebihan strategik dalam struktur dakwah moden. Keupayaan berkomunikasi dengan massa adalah satu aset yang sangat diperlukan dalam era kontemporari.

4. Al-Sabr (Kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian): Kepimpinan dalam agama sering dicapai melalui kesabaran menghadapi gangguan dan ujian.

Kesediaan seseorang tokoh untuk terus berkhidmat di tengah kritikan yang hebat boleh dilihat sebagai satu bentuk ketabahan dan komitmen terhadap amanah.

Jika dia menjawab segala tuduhan dengan akhlak yang mulia dan penjelasan yang tenang, ia sebenarnya mencerminkan kematangan watak yang diperlukan oleh seorang pemimpin.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersifat objektif. Sambil kita terus menuntut ketelusan (tabayyun), kita juga wajib menghargai setiap usaha pembaikan dan kepakaran yang dibawa.

Matlamat akhir kita bukanlah untuk menjatuhkan individu, tetapi untuk memastikan institusi agama dipandu oleh mereka yang kompeten dan mampu membawa kebaikan yang paling besar bagi umat.

Semoga pihak berwajib dapat mengambil kira keresahan rakyat sekarang ini dengan neraca maqasid syariah mengutamakan kemaslahatan umum dan memelihara kesucian agama mengatasi kepentingan individu.

Wallahu a'lam.


AHMAD SYIHAN ISMAIL ialah pensyarah di Jabatan Syariah, Universiti Islam AntarabangsaTuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen