malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia dihukum kalah 0-3 dalam 3 perlawanan persahabatan
Diterbitkan:  Dec 17, 2025 2:24 PM
Dikemaskini: 6:24 AM
ADS

Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah dengan jaringan 0-3 bagi tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 melibatkan skuad Harimau Malaya, selain turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).

Tiga perlawanan terbabit ialah Malaysia lawan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei yang berkesudahan seri 1-1 dan perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 Sept yang menyaksikan Malaysia menang 2-1.

Satu lagi perlawanan ialah pertemuan dengan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 Sept yang berkesudahan Malaysia menang 1-0.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan menerima hukuman terbaharu  itu daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang bersidang pada Jumaat (12 Dis).

“Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA Jorge Palacio itu, mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu FAM akan membuat permohonan bertulis, bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA, sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, FAM mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman dikenakan FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Keputusan untuk membawa kes itu ke CAS dibuat susulan FIFA mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat pada 3 Nov, yang mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

Keputusan tersebut menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) setiap seorang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen