malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Gadis ‘kopi pangku’ dan perangkap kemiskinan
ADS

Industri perfileman Indonesia sejak sekian lama cukup dikenali dengan keberanian mengangkat keindahan gaya bahasa sebagai teras penceritaan. Kekuatan skrip sering menjadi nadi yang mengikat emosi penonton melalui dialog yang puitis dan berbekas. 

Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (2013) arahan Sunil Soraya, misalnya, terus dikenang kerana bait dialog panjang Zainuddin kepada Hayati yang sarat emosi dan makna.

 “Demikianlah perempuan, ia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya walaupun kecil dan ia lupa kekejamannya sendiri pada orang lain padahal begitu besarnya.”

Dialog ini membuktikan bagaimana kata-kata yang dilemparkan mampu menjadi medium paling kuat untuk merangkum luka, kecewa dan konflik percintaan antara dua hati.

Namun, persoalan yang timbul ialah sama ada kekuatan sesebuah filem harus bergantung sepenuhnya pada dialog dan keindahan kata.

Pangku, filem sulung arahan pelakon terkenal Indonesia, Reza Rahadian menawarkan jawapan yang berbeza. Filem ini membuktikan bahawa bahasa visual, bahasa tubuh dan simbolisme mampu berdiri teguh sebagai medium penceritaan yang sama kuat.

Bukan itu saja, ia malah lebih jujur mengungkap realiti kehidupan.

Reza memilih pendekatan tenang–alur cerita bergerak perlahan, dialog minimum, manakala penceritaan banyak diserahkan kepada lensa kamera dan keheningan suasana. 

Pendekatan ini sering dianggap berisiko, dikhuatiri mengundang rasa bosan dan mengantuk. Namun, Pangku membuktikan sebaliknya. Setiap babak diikat oleh realisme yang kemas, tanpa dibebani unsur dramatik yang berlebih-lebihan.

Filem ini mengangkat kehidupan gadis “kopi pangku” dengan penuh berhati-hati. Mereka tidak dipaparkan secara seksual, sebaliknya digambarkan sebagai gadis yang terperangkap dalam kemiskinan yang tidak bernoktah.

Watak Sartika (lakonan Claresta Taufan) menjadi nadi emosi filem ini. Sebagai seorang ibu muda yang memikul peranan sebagai ibu, sekali gus bapa kepada anaknya, Bayu (Shakeel Fauzi). 

Ketabahan dan keletihannya tidak dizahirkan melalui dialog yang panjang. Sebaliknya, Reza membiarkan bahasa tubuh, pandangan mata dan air mata yang tertahan berbicara. 

Bahkan pada saat paling rapuh, kekecewaan Sartika disampaikan dalam diam, tanpa adegan dramatik yang dipaksa lagak drama biasanya.

Saji dari pangkuan laki-laki

Sartika berhijrah ke Jalur Pantura di Jawa Barat, untuk memulakan kehidupan baru dan bekerja di sebuah warung kopi ‘pangku’, tempat dia menyajikan minuman sambil duduk di pangkuan pelanggan lelaki. Keadaan ini bukan dipilih kerana kehendaknya, tetapi lahir daripada keterpaksaan dirinya untuk bertahan hidup.

Melalui watak ini, Pangku memperlihatkan bagaimana kemiskinan bukan sekadar merampas peluang, malah menghapuskan konsep peluang itu sendiri. Sartika dan wanita sepertinya tidak pernah benar-benar diberi ruang untuk memilih atau dibukakan pintu menuju ke tempat yang lebih baik.

Seperti yang dikongsikan oleh Claresta, pelakon watak Sartika, dilema moral wanita dalam filem ini tidak boleh dinilai secara hitam putih. Hidup mereka terlalu kompleks untuk diukur dengan kamus moral biasa. Terlihat jelas mereka tidak merungut, tidak menyalahkan keadaan, dan tidak menuding jari kepada sesiapa.

Apa yang mereka lakukan hanyalah bertahan. Fokus mereka ialah memastikan perut beralas setiap hari. Untuk memikirkan tentang hari esok, itu belum tentu. 

Kefahaman inilah yang menjadikan Pangku sebuah filem yang bukan sahaja menyentuh emosi, tetapi juga mengajak penonton melihat kehidupan dari sudut pandang wanita yang jarang diberi ruang dan peluang. Mereka terus terikat pada realiti yang sempit dan tidak adil.

Namun Pangku tidak hadir untuk menghakimi. Filem ini dengan jujur memperlihatkan bagaimana persekitaran dan tekanan ekonomi menolak mereka ke dalam lubang gelap yang dalam, sehingga suara tangisan pun seakan perit untuk diluahkan.

Dari segi lakonan, Pangku berdiri kukuh kerana kekuatan pelakon. Claresta menghidupkan watak Sartika dengan kejujuran yang menyayat hati dan rapuh dalam keletihan, namun tetap menggenggam sisa harapan untuk terus bertahan. 

Setiap pandangan mata dan gerak tubuhnya seolah-olah memikul beban hidup yang tidak pernah terasa ringan, menjadikan kesakitan itu terasa dekat dan nyata untuk dirasai oleh penonton. Sementara itu, Bayu, anak kecil yang membesar dalam keluarga yang dijerat kemiskinan menambah rencah emosi kepada penonton.

Sebuah filem tidak semestinya berfungsi sebagai penentu benar atau salah demi memberi pengajaran kepada penonton. Namun apabila filem itu mampu meninggalkan bekas emosi yang panjang, hingga membuatkan kita berhenti seketika, menilai semula cara kita memandang manusia di sekeliling khususnya wanita malang seperti ibu tunggal yang terhimpit oleh kemiskinan dan takdir, serta manusia yang selamanya hidup bersama stigma masyarakat. 

Dari di situlah kekuatan Pangku benar-benar terasa. Filem ini tidak merayu simpati berlebihan, sebaliknya mengajak penonton memandang manusia-manusia ini dengan lebih jujur dan berperikemanusiaan.

Filem ini mungkin bergerak secara perlahan tetapi setiap babak berjaya menikam perasaan secara senyap dan halus iaitu melalui diam tapi berbicara dan dari raut wajah manusia yang menyimpan seribu luka. Pangku ialah kisah yang wajar kita beri waktu untuk dihayati.


PUTERI NORDAHLILAH AZMI adalah wartawan pelatih Malaysiakini yang mendapat pendidikan dalam bidang penulisan kreatif daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen