Pengerusi pasukan petugas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mencadangkan laluan alternatif ke universiti awam.
Dia mengusulkan peperiksaan kemasukan yang merangkumi keperluan Bahasa Melayu dan sejarah, sebagai ganti kepada pengiktirafan UEC secara langsung.
Eddin Khoo berkata laporan pasukan petugas itu sudah siap namun belum dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan, masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan tidak pernah diminta oleh mana-mana menteri pendidikan sejak 2020.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak semua ahli jawatankuasa, tetapi saya boleh bercakap bagi diri saya sendiri.

"Cadangan saya ialah (untuk universiti awam) mengadakan peperiksaan kemasukan yang merangkumi penguasaan Bahasa Malaysia, sejarah, dan perkara-perkara seumpamanya,” katanya kepada Malaysiakini.
Berbanding “mengiktiraf” peperiksaan tersebut, katanya, calon yang lulus UEC boleh diberikan kelonggaran tertentu supaya mereka boleh memasuki universiti awam tempatan dan perkhidmatan awam.
Cadangan itu antara yang terkandung dalam laporan berkenaan, yang telah siap disediakan namun masih belum dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan.
Khoo berkata jawatankuasa tersebut memerlukan beberapa lanjutan masa bagi menjalankan penelitian menyeluruh terhadap isu itu namun ketika kerja mereka siap, kerajaan PH tumbang susulan Langkah Sheraton dan pandemik Covid-19 pula melanda.

Sejak itu, katanya, tiada seorang pun menteri pendidikan memintanya mengemukakan laporan tersebut.
Jelasnya, laporan itu juga tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, yang bermakna kandungannya tidak boleh didedahkan kepada umum.
Pada Khamis (11 Dis), Maszlee Malik (gambar atas) menyeru agar jawatankuasa berkenaan membentangkan laporan tersebut kepada umum.
Bekas menteri pendidikan itu, yang menerajui KPM ketika pasukan petugas UEC dibentuk pada 2018, menggesa perbincangan terbuka mengenai isu tersebut supaya orang ramai boleh menilai perkara berkenaan.
Perbahasan mengenai UEC kembali memuncak selepas DAP mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini, apabila parti itu gagal memenangi kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.
Keputusan pilihan raya tersebut memberi isyarat penurunan sokongan daripada pengundi teras DAP, khususnya komuniti Cina.
Dalam usaha memulihkan kedudukan DAP dalam kalangan pengundi Cina, timbalan pengerusi parti itu, Nga Kor Ming berkata DAP akan memohon pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membincangkan pengiktirafan UEC, yang serta-merta mencetuskan reaksi balas daripada Umno.
Di media sosial, reaksi dalam kalangan netizen Melayu dilihat keras, merangkumi kenyataan berunsur perkauman hingga dakwaan bahawa pengiktirafan UEC akan menjadikan Anwar tunduk kepada DAP.
Ia tanggapan yang cuba dielakkab perdana menteri dan DAP sejak pembentukan kerajaan Madani.

