Komuniti Orang Asli Temiar di Kampung Kelaik, Kelantan, menggesa kerajaan mengeluarkan keputusan ujian darah dan biologi yang dijalankan ke atas mereka pada Januari susulan pendedahan Malaysiakini mengenai perlombongan berhampiran tanah mereka.
“Kami ingin tahu sama ada kami sihat. Sangat tertekan menunggu keputusan,” kata Ahak Uda, 58, yang merupakan ketua jawatankuasa bertindak Kampung Kelaik.
Ahak berkata penduduk resah kerana mereka dibiarkan tanpa jawapan mengenai keadaan kesihatan mereka.
“Kita perlu tahu sama ada rawatan diperlukan, dan sama ada logam berat boleh dikeluarkan dari badan kita,” kata Ahak, yang membangkitkan perkara itu kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Komuniti, hari ini.

Dia dan beberapa ahli jawatankuasa itu bercakap dengan Malaysiakini selepas memberi keterangan kepada PSC itu yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.
Jawatankuasa itu mendengar rungutan mereka sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Ahak mewakili 202 penduduk kampung, yang tinggal di hilir sungai tidak jauh dari dua lombong bijih besi yang diarahkan untuk menghentikan operasi Disember lalu selepas siasatan Malaysiakini mendapati bahawa tapak-tapak ini mencemar sumber air yang menjadi tumpuan komuniti di situ.
Ujian bebas yang ditugaskan oleh Malaysiakini pada Oktober 2024 mendapati tahap kromium yang tinggi, logam berat karsinogenik, dikesan dalam badan beberapa penduduk kampung.

Antara yang hadir hari ini ialah anak lelaki Ahak, Azlan, 20, yang ujian darahnya oleh Malaysiakini mendapati bahawa tahap kromium dalam badannya menjadikan dia berisiko menghidap kanser 64,000 lebih tinggi daripada biasa.
BACA LAPORAN EKSKLUSIF BERKAITAN: ‘Maut di sungai merah’ - Orang Asli risau anak-anak keracunan
Azlan merupakan penduduk kampung termuda antara enam penduduk kampung yang menawarkan sampel darah untuk ujian bebas Malaysiakini, yang menyaring zat besi, kromium, arsenik dan aluminium.
Penilai kesihatan kimia Vivien How, yang menyemak keputusan ujian Malaysiakini, berkata kromium boleh kekal di dalam badan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, menunjukkan pendedahan Azlan kepada bahan-bahan itu mungkin berlaku tidak lama sebelum ujian dijalankan.
How menyatakan bahawa penemuan itu sebagai kebimbangan serius yang memerlukan siasatan segera oleh pihak berkuasa kerana implikasi kesihatannya yang teruk.
Pada Januari lalu, Jabatan Kesihatan Gua Musang mengadakan program jangkauan kesihatan dan pegawai dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengumpul sampel biologi daripada penduduk kampung.
Penduduk kampung berkata bahawa sekurang-kurangnya 60 orang dewasa, berumur 18 tahun ke atas, secara sukarela menyediakan sampel darah, rambut, dan kuku, tetapi tidak pasti tentang skop penuh ujian yang akan dijalankan ke atas sampel ini.
Aktivis Orang Asli Eliana Tan yang turut hadir pada sesi hari ini berkata bahawa adalah penting bagi komuniti itu untuk diberi ruang bercakap secara langsung dengan wakil rakyat.
Dia menambah bahawa komuniti Orang Asli mesti terus menyuarakan kebimbangan mereka walaupun prosesnya terasa panjang dan sukar.

