malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Warisan atur gerak besar untuk PRU16 lepas cipta 'tsunami' di Sabah
ADS

Selepas "tsunami politik" yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Warisan - yang muncul sebagai parti tunggal terbesar dalam DUN dengan 25 kerusi - telah menetapkan sasarannya untuk pilihan raya kebangsaan akan datang.

Parti itu berharap dapat memanfaatkan momentum sedia ada dengan memenangi lebih banyak kerusi parlimen di Sabah, selain berpotensi untuk menyelaraskan diri dengan parti-parti yang berpangkalan di Sarawak untuk membentuk kuasa persekutuan.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong, berkata PRN Sabah hanyalah "satu pertempuran" berbanding "perang" akan berlaku dalam tempoh dua tahun lain - merujuk kepada PRU ke-16.

Bercakap kepada Malaysiakini, Wong  berkata Warisan bercadang untuk meletakkan calon di semua kerusi parlimen Sabah, dan pada masa sama terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan yang membawa aspirasi sama.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini Warisan tidak mempunyai rancangan untuk mengembangkan pengaruhnya di luar Sabah - kecuali komuniti Cina di Semenanjung Malaysia memberi isyarat "bersedia".

Kenyataan itu dibuat selepas Warisan menyapu bersih kerusi DUN di kawasan bandar utama Sabah yang sebelum ini menjadi kubu kuat DAP.

Untuk rekod dalam PRN baru-baru ini DAP bertanding di lapan kerusi namun semuanya gagal dimenangi.

"Adakah komuniti Cina di Semenanjung Malaysia bersedia? Sabah sudah. Warisan telah mewujudkan tsunami politik di sini.

"Saya tidak pasti sama ada tsunami ini akan merebak ke Semenanjung Malaysia atau tidak dan itu anda yang boleh menjawabnya, bukan kami.

"Adakah anda bersedia? Jika sudah, maklumkan kepada kami. Kalau tidak, buat apa kami pergi ke sana?" katanya.

Wong berkata demikian dalam program audio siar Malaysiakini versi Cina yang disiarkan di platform YouTube, Spotify dan Apple Podcasts semalam.

Mengimbas kembali apa yang berlaku pada PRU 2022, Wong berkata, masyarakat Cina mempercayai PH dan pemimpinnya Anwar Ibrahim, namun keadaan kini berbeza dan mereka berasa "tertipu."

Dua mesej daripada pengundi

Katanya, jika pengundi Cina di Sabah menyokong sepenuhnya Warisan ketika itu, mereka boleh memenangi 10 hingga 12 kerusi parlimen dan cukup untuk mempengaruhi politik persekutuan bersama blok Sarawak.

Dia yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Tanjung Aru dalam PRN minggu lalu berkata jika keadaan itu dicapai, Warisan memiliki pengaruh yang lebih besar untuk mengimbangi pengaruh Anwar.

"Tetapi kami terlepas peluang itu. Sekarang semua orang di Sabah sedang menunggu PRU akan datang. Kami takkan terlepas peluang lagi," katanya.

Dalam PRN pada 29 Nov lalu, Warisan bukan sahaja mempertahankan kubu kuatnya di pantai timur negeri tersebut malah menunjukkan pengaruh yang besar di kawasan bandar dengan menawan hampir semua kubu kuat PH, termasuk Luyang dan Likas yang sebelum ini dimenangi DAP, selain Api-Api daripada PKR.

Warisan pernah cuba mengembangkan pengaruhnya ke Semenanjung Malaysia pada 2021 dengan merekrut bekas pemimpin PH Harapan dan BN, tetapi usaha itu gagal memberikan kesan semasa PRU ke-15 dilangsungkan.

Ong Tee Keat (kiri)

Antara ahli politik yang menjadi calon Warisan ketika itu ialah bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat, yang diletakkan di Pandan.

Daripada 52 kerusi parlimen yang ditandinginya - termasuk 25 di Sabah dan satu di Labuan - Warisan hanya memenangi tiga dengan semuanya berada di Sabah.

Ong bukan saja kalah di Pandan, malah dia turut kehilangan deposit.

Menurut Wong, buat masa ini Warisan akan menumpukan gerakannya di Sabah dan hanya akan berubah fikiran jika melihat ada isyarat daripada pengundi di Semenanjung - khususnya komuniti Cina - yang jelas mahukan platform alternatif.

Mengenai keputusan PRN baru-baru ini, Wong berkata, pengundi menghantar dua mesej yang jelas - sentimen setempat yang semakin menebal, serta keinginan untuk menubuhkan kerajaan yang dibentuk oleh parti Sabah sepenuhnya.

"Kami telah membuktikan dengan jelas - tsunami politik bandar atau Cina. Dari segi sejarah, perubahan politik sering bermula dengan tsunami Cina," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen