Ahli politik, Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini didakwa lagi di mahkamah atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM64,924 daripada ahli perniagaan, Albert Tei.
Bekas pegawai kanan perdana menteri itu didakwa menerima rasuah atas kapasitinya sebagai setiausaha politik Anwar Ibrahim sebagai tujuan penyewaan untuk membantu syarikat Tei mendapatkan lesen cari gali mineral di Sabah.
Pertuduhan itu dibacakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Mohd Nasir Nordin.
Dalam prosiding itu, Shamsul Iskandar berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, manakala Tei mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) akta yang sama, iaitu memberi rasuah kepada ahli politik terbabit.
Menurut kertas pertuduhan, sejumlah wang didakwa dimasukkan ke akaun bank milik seorang wanita, Rahmalidya Buyong, antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024 di CIMB cawangan Country Heights, Kajang.
Kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda daripada nilai suapan jika disabitkan bersalah nanti.
Tuduhan terbaru hari ini merupakan yang kelima selepas kedua-duanya berdepan empat pertuduhan awal di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
Terdahulu, Mohd Nasir selaku hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengenakan syarat jaminan yang sama ke atas kedua-dua tertuduh seperti ditetapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin bagi Shamsul Iskandar, manakala Tei dibenarkan ikat jamin RM70,000, juga dengan dua penjamin.
‘Jangan mudah percaya’
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Farah Ezlin Yusop Khan serta Nurul Qistini Qamarul Abrar.
Mohd Nasir juga membenarkan permohonan pendakwaan agar kes di mahkamah Shah Alam dipindahkan untuk dibicarakan secara bersekali di Kuala Lumpur.
Tei diwakili oleh pasukan pembelaannya yang terdiri daripada Eric Paulsen, Mahajoth Singh, N Surendran dan Rajesh Nagarajan.
Amer Hamzah Arshad dan Yusmadi Yusof pula bertindak mewakili Shamsul Iskandar.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Rajesh berkata, sebutan kes akan didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Jan tahun depan.

Katanya empat pertuduhan semalam dan satu hari ini akan didengar bersekali di mahkamah sesyen yang sama di Kuala Lumpur.
Sementara, Amer Hamzah berkata pihaknya masih lagi berpendirian bahawa mahkamah akan membersihkan nama Shamsul Iskandar.
"Kami menantikan prosiding tersebut agar kami dapat menjelaskan kebenaran.
“Beliau mempertahankan kebenarannya. Apa-apa video yang telah ditularkan sebelum ini adalah satu fitnah dan tohmahan yang tidak pernah berlaku sama sekali.
"Justeru, kami memohon kerjasama semua pihak supaya tidak mudah percaya hanya kerana terdapat satu video yang menyebut nama Shamsul Iskandar.
"Ia sama sekali tidak bermaksud wujudnya sebarang penglibatan beliau," katanya.

