Memasuki fasa terakhir penggal ke-15 pemerintahan, kerajaan Madani bawah kepimpinan Anwar Ibrahim perlu melakukan tindakan lebih ampuh dan berkesan, bukan hanya kepada proses reformasi, sebaliknya turut kepada langkah politik demi memastikan parti-parti kerajaan mendominasi kemenangan dalam pilihan raya umum ke-16.
Selain menamatkan spekulasi nama-nama ahli politik yang bakal menyertai kabinet dalam rombakan kali ketiga ini, usaha ke arah membetulkan naratif terkait isu agama dan kaum, khususnya yang memberi kesan kepada prestasi kerajaan perlu dilipatgandakan melalui pelbagai strategi.
Anwar selaku satu-satunya perdana menteri yang dididik dalam gerakan Islam sangat dekat dan condong kepada aktiviti-aktiviti agama dan dakwah. Anwar sangat merendah diri apabila menyantuni golongan agamawan, malah acara keagamaan yang melibatkan tokoh-tokoh ilmuwan dan gerakan Islam menjadi rutin program Pejabat Perdana Menteri.
Usaha Anwar dan kecenderungannya berbeza dengan kepimpinan pemimpin-pemimpin sebelumnya. Sepatutnya dalam keadaan itu, tidak berbangkit lagi naratif Islam terancam. Hakikatnya, serangan itu menjadi lebih kuat dan naratif Islam terancam seolah-olah berlaku bawah kepimpinan Madani.
Sinergi yang Anwar bentuk selaku wakil umarak dalam kerajaan Madani dengan ulama yang didampingi dalam pelbagai program ilmu agama cukup mantap sering berlangsung di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Namun hakikat yang perlu disedari, program tersebut gagal menembusi pengetahuan orang-orang kampung dan luar bandar. Masyarakat di Lembah Klang ini sedar dan menerima pendedahan yang cukup tentang kepimpinan Anwar dan Madani. Sebaliknya yang masih belum berjaya ditembusi oleh kepimpinan Anwar adalah kelompok luar bandar dan pedalaman.
Justeru itu, program yang menyerlahkan sinergi ulamak dan umarak perlu juga diadakan di seluruh negara yang melibatkan kawasan-kawasan Melayu-Islam. Kawasan yang sukar menerima maklumat dan pendedahan aktiviti kerajaan mesti menjadi keutamaan aktiviti keagamaan melibatkan kepimpinan dan agamawan.
Baru-baru ini Madani mengadakan Majlis Khatam Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 di Putrajaya. Acara yang menghimpunkan ramai tokoh agama baik dalam dan luar negara itu mendapat sentuhan Anwar selaku umarak negara.
Acara tersebut dilihat menjadi aspirasi kepada kerajaan Madani yang mahu mengangkat aspek keagamaan dan kejiwaan dalam membangunkan negara ini. Ia sekali gus menafikan dakyah anti-Madani yang menjaja bahawa syiar Islam dan budaya dakwah terbantut dan terancam.
Hanya sampai ke Putrajaya
Pun begitu, acara ini hanya sampai di Putrajaya dan media-media yang dipaparkan oleh kerajaan sahaja. Sebaiknya acara seperti ini juga perlu diadakan di negeri-negeri lain. Kekerapannya lebih perlu kerana usaha dakwah mesti diperkasakan selain mengekang naratif songsang yang selalu dimainkan oleh kelompok anti-Madani.
Dalam konteks ini, usaha Akademi Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (Nunji) pimpinan pengerusinya Dr Mujahid Yusof Rawa mengadakan acara himpunan agamawan sekolah-sekolah pondok di Kelantan amatlah sesuai dan perlu diadakan bagi meningkatkan kefahaman orang Melayu-Islam bahawa Madani sangat menekankan soal sinergi antara ulama dan umarak untuk membangunkan negara.
Himpunan tersebut menyerlahkan komitmen Anwar dan kerajaan dalam memperkasakan sekolah-sekolah pondok di Malaysia baik dari segi peruntukan dana mahupun sistem sokongan.
Satu himpunan yang turut mendapat kerjasama agensi kerajaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu diadakan di negeri yang mempunyai begitu banyak sekolah-sekolah pondok. Sasaran itu bertepatan dengan langkah untuk membawa Anwar mendampingi golongan agamawan dari akar umbi.
Anwar menerima pelbagai input atau pandangan dari pihak akar umbi yang menggerakkan dakwah dan tarbiah di peringkat bawahan. Dengan cara itu Anwar dan kerajaan akan memahami lebih dalam akan denyut nadi rakyatnya dan akan melahirkan pelbagai dasar-dasar mesra sekolah pondok dan agamawan.
Kedua, ia diadakan di negeri yang majoritinya jauh dari ibu negara serta kawasan luar bandar yang kurang menerima pendedahan akan dasar-dasar kerajaan Madani yang sedang berjalan pesat.
Justeru langkah Akademi Nunji mengadakan himpunan tersebut di Kelantan memberi kesan besar kepada imej kerajaan serta menjadi pemudah cara kepada rakyat jelata memahami aspirasi dan usaha kerajaan Madani. Dijangka himpunan ini akan diadakan di negeri-negeri lain pula selepas ini.
Masyarakat dapat bertemu sang umarak dan pasukannya dalam acara keagamaan. Ini mampu menyerlahkan imej Madani yang memperkukuhkan dakwah Islam sekali gus menafikan tuduhan-tuduhan pihak anti-Madani.
Jika acara agama dan kerohanian ini diadakan di negeri-negeri lain, ia bukan sahaja memberi kesan baik seperti apa yang tercatat, sebaliknya ia juga akan merintis jalan kerjasama yang baik antara kerajaan persekutuan dan agensi agama bawah negeri yang terlibat. Kerjasama yang dirintis akan memudahkan kerajaan persekutuan dan negeri menyelaras pelbagai isu berbangkit terkait isu agama dan negeri.
Ia sesuai dengan peranan Jabatan Hal Ehwal Agama di bawah Perdana Menteri sebagai penyelaras antara agensi-agensi agama dan institusi agama di bawah semua negeri di Malaysia.
Usaha yang sedia baik dilakukan oleh kerajaan Madani itu haruslah dilipatgandakan. Malah ia mesti diperluaskan ke seluruh negara. Usaha Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang bergerak ke seluruh negara melalui program bersama kelompok tahfiz juga wajar diteladani oleh kepimpinan lain.
ABDUL JALIL IBNU adalah pemerhati dan penulis politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

