malaysiakini logo
story-image
ADS

Pencapaian Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun menjadi parti paling banyak kerusi, adalah tidak memuaskan kerana tidak memperoleh majoriti mudah. Sementara pencapaian Warisan, BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah jelas kekecewaannya.

Tetapi rakyat Sabah–yang secara sentimen dan politik mahukan negeri yang menikmati hak sebagai wilayah selaras dengan Perjanjian Malaysia (MA1963), maju, membangun, bersih daripada korupsi, berintegriti dan bermaruah–adalah paling kecewa.

Mereka tidak memperoleh kerajaan impian mereka. 

Kerajaan “GRS Plus” yang ditubuhkan kelihatan hanya meneruskan status quo politik negeri dan tiada perubahan.

Maka dirasakan impian rakyat tidak menepati realiti. Tetapi rakyat tidak boleh putus asa. Harapan terhadap impian inilah menjadikan suatu perjuangan itu bermakna. Mungkin tidak akan dapat dicapai semua, tetapi jika sebahagian saja pun, ia merupakan suatu kemajuan.

Sekurang-kurangnya dapat memperoleh keperluan asas seperti bekalan air paip, bekalan elektrik tanpa gangguan, jalan raya tanpa lubang dan kemudahan Internet. Ini sesuatu yang boleh diusahakan.

Untuk menyediakan bekalan air pada seluruh negeri itu memerlukan projek dan peruntukan besar yang berada di luar kemampuan. Tapi usaha untuk itu mestilah ada dan berterusan.

Dalam impian mereka ini, matlamat murni itu hanya boleh dicapai dengan mempunyai kerajaan negeri yang diperintah oleh parti Sabah tanpa tertakluk dengan kehendak “parti Malaya”.

Mereka mengimpikan Sabah menjadi seperti Sarawak, yang parti kerajaan merupakan parti tempatan iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) diketuai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dominan dan tidak dapat dicabar oleh sesiapa. 

Kedudukan yang kuat itu memudahkan mereka menuntut apa saja kehendak negeri dari kerajaan persekutuan. GPS yang kuat bukan saja boleh menjadi “kingmaker” (penentu kerajaan persekutuan).

Negeri itu malah menukar jawatan ketua menteri sebagai premier, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai wilayah dan bukannya hanya negeri seperti Pulau Pinang dan Melaka.

Ternyata sentimen “Sabah for Sabahans” (Sabah untuk ‘urang’ Sabah”) benar memberi kesan besar apabila “parti Malaya” iaitu BN, PN dan PH gagal memperoleh bilangan kerusi yang wajar, malah DAP diisytiharkan oleh penganalisis sebagai “the end of era” (berakhirnya suatu era).

Asal bukan ‘parti Malaya’

Secara idealnya, kerajaan negeri Sabah pasca-PRN ini wajar merupakan kerajaan perpaduan semua parti-parti tempatan dengan kerjasama dua parti utama iaitu GRS dan Warisan dan disertai semua parti kecil dan Adun Bebas, asalkan mereka bukan dari “parti Malaya.”

Pakatan semua parti tempatan dapat menempatkan Sabah seperti Sarawak. Tetapi realitinya tidak demikian. Sebelum PRN lagi, sudah ada pakatan antara GRS dengan PH. Seharusnya pakatannya berbentuk GRS-PH-BN untuk mencerminkan kerajaan Madani di peringkat persekutuan. Tetapi BN tidak boleh bekerjasama dengan GRS. Maka BN memilih bertanding sendiri. Walaupun hakikatnya kerajaan persekutuan berasaskan kerjasama PH-BN.

Apabila keadaan ini berlaku, GRS tidak dapat dilihat sebagai sepenuhnya “parti Sabah.” Lebih-lebih lagi kelihatannya bahawa PH melalui PKR mempunyai pengaruh besar walaupun ia menang satu kerusi. Sebaik saja keputusan, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengumumkan bahawa PH menyokong penubuhan kerajaan yang diketuai oleh GRS. Kelihatan gambar beliau bertemu dengan ketua GRS, Hajiji Noor menyerahkan surat sokongan, sekali lagi menunjukkan mereka mendapat dukungan dari “parti Malaya” yang memerintah di Putrajaya.

Maka anggapan rakyat Sabah ialah bahawa apa yang berlaku dalam politik Sabah adalah “rekayasa” (percaturan) pemimpin utama persekutuan iaitu Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Sama ada benar atau tidak, itulah gambaran yang diberikan.

Percaturan dari parti utama kerajaan persekutuan berlaku sejak dulu. Dari zaman Usno, Parti Berjaya dan semasa tempoh amalan penggiliran ketua menteri menurut kaum: Bumiputera Islam, Bumiputera Kristian dan Cina.

Dalam PRN ini, parti utama persekutuan, PH ditolak oleh pengundi Sabah. PKR hanya memenangi satu kerusi, DAP kalah semua. Begitu juga dengan Amanah yang gagal sementara PAS berjaya memperoleh kerusi sulung di Sabah.

Namun begitu, keputusan PRN ini mencerminkan aspirasi rakyat Sabah juga. Walaupun banyak rakyat Sabah mendambakan parti tempatan untuk memerintah, ada sebahagiannya masih mahukan hubungan erat dengan “parti Malaya”. Mungkin golongan muda umumnya menyokong parti tempatan tetapi golongan tua yang sudah matang dengan politik dan tetap mengutamakan kestabilan masih mengundi “parti Malaya”. Maka mereka memilih GRS kerana ia masih mempunyai kaitan dengan “parti Malaya”.

Sebenarnya istilah “parti Malaya” untuk menamakan BN, PH dan PN tidak tepat. BN Sabah, PH Sabah dan PN Sabah dipimpin oleh orang Sabah juga. BN berkempen dengan slogan “Sabah for Sabahan, Sabahan for Malaysia.” Maksudnya Sabah untuk orang Sabah dan orang Sabah mahu terus bersama Malaysia.

BN mempunyai sejarah dari Perikatan Sabah dan ketika Umno adalah asalnya Usno, dan dalamnya ada Upko. Dan SCA asalnya parti Sabah. DAP adalah parti pertama yang mempunyai cawangan di ketiga-tiga wilayah Semenanjung, Sarawak dan Sabah. 

Shafie Apdal

Pada satu ketika ia komited dengan gagasan Malaysian Malaysia. Dan pada awal dahulu semasa Lim Kit Siang, mereka sering menyuarakan hak Sabah dalam konteks MA63, maknanya dalam Malaysian Malaysia MA63.

Sementara itu, Presiden Parti Warisan, Shafie Apdal adalah bekas naib presiden Umno. Apabila Usno menjadi Umno Sabah, anak Sabah berpeluang untuk menjadi presiden Umno dan perdana menteri. Warisan pula ditubuhkan sebagai sekutu PH dalam PRU 2018.

Tak seperti Sarawak

Sabah tidak seperti Sarawak. Sabah mempunyai sejarah tersendiri terutamanya hubungannya dengan kerajaan persekutuan. “Malaya” tidak wujud. Apa yang ada hanyalah entiti geografi Semenanjung Malaysia dan entiti politik kerajaan persekutuan yang adalah dimiliki oleh parti-parti ketiga-tiga wilayah negara ini.

Apa yang sedang berubah ialah generasi muda yang tidak mahu terikat dengan cara fikiran dahulu. Kemudahan teknologi baharu menjadikan mereka berbeza. Kalau generasi baharu majukan Sabah yang berlainan, maka itulah yang akan berlaku apabila generasi lama sudah tiada.

DUN Sarawak, gambar hiasan

Impian sebuah negeri yang menikmati haknya sebagai wilayah selaras dengan Perjanjian Malaysia (MA1963), maju, membangun, bersih daripada korupsi, berintegriti dan bermaruah boleh tercapai melalui parti pemerintah yang ada. Kesepakatan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan boleh mencapai matlamat ini.

Tetapi kesukaran paling besar ialah membersihkan negeri daripada korupsi. Sejarah korupsi negeri ini adalah panjang sejak penubuhan Malaysia, baik merangkul pihak politik mahupun dunia niaga. Untuk menyedari perkara ini, satu laporan komprehensif yang sahih wajar dibuat akan dapat benar-benar mengenal pasti masalah ini dan selanjutnya melangkah pada era baharu.

Tak normal angkat sumpah 3 pagi

Maka apa yang juga wajar dilakukan untuk memasuki era baharu Sabah ialah perubahan budaya politik negeri itu. Upacara angkat sumpah ketua menteri pada pukul 3.00 pagi menunjukkan bahawa budaya politik di situ tidak normal. Peserta demokrasi di Sabah tidak boleh meneruskan budaya politik sedia ada jika mahukan perubahan.

Akhirnya, Sabah memerlukan pemimpin yang boleh menarik sokongan padu di seluruh negeri dan selanjutnya melakukan perubahan termasuk berunding dengan kerajaan persekutuan. Keputusan PRN itu tidak menunjukkan ada pemimpin yang boleh meraih sokongan sebegitu rupa.

Hajiji ketika mengangkat sumpah jawatan

Dalam keadaan itu, rakyat Sabah dan rakyat Malaysia umumnya terpaksa menerima struktur yang ada dan melakukan apa yang terbaik. Realitinya banyak data dan maklumat hanya diketahui oleh golongan elit, baik elit politik, elit perkhidmatan awam atau elit perniagaan. Merekalah sebenarnya yang boleh untuk membuat sesuatu dan pertimbangan berkesan.

Keputusan PRN Sabah sememangnya mengecewakan banyak pihak tetapi ia menjadi pelajaran dan pangkalan bagi usaha berdepan dengan cabaran bentuk baharu, yang tidak pernah ada sebelum ini.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen