malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bung Moktar meninggal dunia pada usia 66 tahun
Diterbitkan:  Dec 5, 2025 2:15 AM
Dikemaskini: Dec 5, 2025 1:27 AM
ADS

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada usia 66 tahun.

Berita pemergian ahli Parlimen Kinabatangan itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar, melalui satu hantaran di Facebook pagi ini.

“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2025, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Malam tadi, Malaysiakini melaporkan bahawa Bung Moktar — yang juga pengerusi Umno Sabah — dimasukkan ke hospital semalam selepas mengalami komplikasi pada paru-paru, jantung dan buah pinggang. Dia dilaporkan dalam keadaan kritikal ketika menerima rawatan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-10 iaitu pada November 1999, allahyarham memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.

Dilahirkan pada 15 Sept 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Allahyarham meninggalkan isteri Nor Asidah Alimuddin dan Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.

Sebelum bergiat aktif dalam politik, Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada tahun 1990 hingga 1992.

Kemudian, allahyarham dilantik sebagai setiausaha politik kepada menteri kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.

Kerjaya politik Bung Moktar bermula pada 1999 apabila dia dipilih sebagai ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.

Bagaimanapun kerjaya politiknya dicemari apabila Bung Moktar dan Zizie Izette berdepan pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Pada 13 November, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pasangan itu untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes RM2.8 juta tersebut — yang sepatutnya berlangsung pada 27 November dan 3 Disember — ke Januari tahun depan, selepas mereka memohon penangguhan berikutan tarikh PRN Sabah pada 29 November.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen