malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bila skuad hoki mahu keluar dari badi kekecewaan?
ADS

ULASAN SUKAN | Awal-awal lagi kita sudah menjangkakan peluang skuad hoki negara muncul juara di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir di Ipoh, Ahad lalu amat tipis.

Betapa benar tanggapan itu. Tapi, pada ketika sama kita menyimpan harapan dapat naik podium sekurang-kurangnya sebagai pemenang pingat gangsa di bumi sendiri. Itu pun tidak menjadi.

Akhirnya, barisan Speedy Tigers kita cuma mampu mendapat tempat keempat dalam kejohanan melibatkan enam negara itu. Memanglah ia bukan keputusan terburuk kerana kita tidak menghuni tangga tercorot.

Dalam saingan memburu gangsa kita dibelasah New Zealand 1-6 walaupun semasa peringkat saingan liga satu pusingan keputusan terikat 2-2.

Pada kejohanan edisi ke-31 itu, pemenang pingat emas Olimpik dan Piala Dunia, Belgium, muncul juara selepas menewaskan jaguh Asia, India 1-0 dalam final yang menarik.

Berdasarkan kepada perlawanan itu, impian kita untuk merapatkan jurang permainan dengan pasukan terbaik dunia jelas masih jauh untuk digapai. Bahkan jurang yang sedia ada semakin melebar.

Pun begitu kita mahu bertanya: berapa lama lagi Speedy Tigers mahu berada dalam situasi begini?

Bila kita mahu keluar dari kepompong kekalahan? Jangan pula sampai kita hilang identiti di pentas dunia.

Sesuatu yang drastik perlu diusahakan segera oleh pengurusan atasan pasukan kebangsaan. Terpulang, mereka pasti ada formula lebih baik dengan kepakaran dimiliki.

Secara perlahan-lahan ketinggalan

Mereka juga perlu menjawab kepada pembayar cukai bila pasukan negara mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan terbaik dunia, termasuk Jerman, Belanda Australia, Argentina atau pun Sepanyol.

Begitu juga Belgium dan India yang berada dalam kelompok elit ketika ini.

Generasi pemain ketika ini juga perlu sedar, skuad negara bukan mula bermain hoki 10 atau 20 tahun lalu.

Sudah tujuh atau lapan dekad kita memiliki pengalaman di pentas antarabangsa. Sebagai pencerahan, kita pernah menewaskan pasukan elit yang disebut tadi.

Pada hari ini, senario itu tidak kelihatan lagi, malah kita pun sudah lama gagal layak ke Sukan Olimpik. Atau lebih tepat, sejak 2000.

Tanpa aksi di temasya itu, kita sebenarnya sudah secara perlahan-lahan ketinggalan. Kini ia nampak makin jauh selepas menyepi dari pentas berprestij itu hampir suku abad.

Apa yang nampak pincang sebenarnya?

Berpandukan corak permainan sepasukan di Ipoh baru-baru ini, faktor kurang kualiti boleh disebut antara masalah utama yang dihadapi skuad negara. Elemen itulah yang memisahkan kita dengan pasukan ternama lain seperti Belgium dan India.

Pemain kita – yang melibatkan gabungan veteran dan muda – sudah memberikan yang terbaik. Itu tidak kita nafikan.

Cuma, mereka tidak dapat menjelmakan kualiti secara kolektif untuk bersaing dengan pasukan terbaik dunia.

Apa yang menyedihkan ketika ini ialah, kita turut bergelut dengan pasukan yang berada ranking di bawah seperti Korea Selatan atau Kanada.

Struktur hoki kita macam sudah tidak ada gambaran yang jelas.

Sarjit berdepan cabaran besar

Dalam Piala Sultan Azlan Shah lalu, kehambaran sama berulang.  Kekerapan melakukan kesilapan dalam pukulan sudut penalti, benteng yang mudah kucar-kacir dek tekanan lawan, serta kesilapan membiarkan gawang bocor pada lewat babak permainan adalah masalahnya.

Kita juga kurang cekap membuat keputusan pantas apabila berada dalam kawasan D lawan. Dalam proses itu kita juga mudah panik ketika kita sepatutnya lebih tenang berbanding pemain lawan.

Ini juga ada kaitan dengan asas permainan seperti menahan bola dan membuat hantaran kemas kepada rakan. Jika di peringkat sekolah sudah diajar, masakan di pentas antarabangsa kita masih kekurangan elemen penting ini.

Aspek kemampuan penjaga gol serta unit pertahanan kekal membimbangkan. Belum ada kemajuan sebagaimana diharap-harapkan.

Ia juga satu petanda membimbangkan kerana Sarjit – selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan – sedang berdepan cabaran besar.

Sarjit Singh

Dia dihimpit dengan tugasan memulihkan kekuatan pasukan menghadapi Sukan Asia 2026 di Jepun. Malaysia harus memenangi pingat emas di Aichi-Nagoya jika berhajat mahu layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Dengan prestasi semasa, sasaran itu nampak kurang realistik, kecuali skuad negara dapat berubah wajah secara drastik.

Sarjit, 63, juga berdepan misi membantu pasukan layak ke Piala Dunia apabila proses kelayakan bermula pada 28 Feb sehingga 8 Mac tahun depan.

Hanya tiga pasukan teratas dalam setiap kejohanan kelayakan akan menempah tiket ke Piala Dunia 2026 di Belanda dan Belgium pada 14 sehingga 30 Ogos 2026.

Soal jurulatih atau sistem kita

Tempohnya boleh dianggap singkat dan akan berlalu dengan pantas. Kita serahkan kepada pengurusan pasukan kebangsaan untuk merancang dan menentukan hala tuju itu.

Ingat, ketika ini Speedy Tigers berada pada ranking ke-13 dunia dan kita harus mencari ilham segera untuk menempatkan pasukan dalam kelompok 10 teratas secara konsisten terlebih dulu.

Malangnya pencapaian di Ipoh lebih banyak menyerlahkan kelemahan berbanding kemajuan.

Berpandukan kepada statistik saja sudah cukup untuk menceritakan tahap sebenar skuad kebangsaan. Speedy Tigers menyumbat 13 gol tapi pada masa sama 27 kali dirobek lawan dalam enam perlawanan.

Ini mungkin antara persembahan terburuk dalam kejohanan ini.

Perlukah kita mencari ketua jurulatih baru? Jika pun perlu, apakah pengendali baru boleh mengubah nasib pasukan?

Sarjit harus diberikan sedikit pujian kerana bekerja gigih untuk menampung kepincangan dalam skuad negara, namun kemajuan dikejarnya itu masih terhad.

Di sini, rasa-rasanya bukan soal jurulatih yang menjadi punca utama kegagalan, tetapi mungkin menjurus kepada soal sistem hoki kita. Adakah kita konsisten atau mudah berubah-ubah mengikut selera semasa?


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen