Mendakwa pemberi maklumat yang butiran serta pendedahannya itu membawa kepada siri siasatan, tangkapan dan akhirnya pertuduhan di mahkamah bukanlah cara yang “serius” untuk menangani rasuah, kata Latheefa Koya.
Bercakap kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, peguam yang mewakili ahli perniagaan, Albert Tei, itu berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 tidak menghalang seorang pemberi maklumat daripada menerima perlindungan.
Kata Latheefa, perkara tersebut bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, sebelum ini bahawa Tei bukan pemberi maklumat kerana dia turut terlibat dalam dakwaan rasuah tersebut.
“Sebagai seorang peguam jenayah dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, saya dapati perkara ini sangat-sangat mengejutkan.
"Bagi saya, amat luar biasa apabila buat pertama kali anda mendengar seorang pemberi maklumat didakwa kerana membongkar rasuah sistemik melibatkan salah seorang pegawai tertinggi.
“Ini mengelirukan dan tidak pernah berlaku di mana-mana dalam dunia,” kata Latheefa selepas Tei didakwa dengan empat pertuduhan menawarkan rasuah kepada bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Latheefa turut menggambarkan Tei sebagai sekadar “ikan kecil” justeru menggesa SPRM mendakwa “ikan besar” dalam rangkaian amalan rasuah yang didakwa berlaku pula.
“Tiada gunanya berkata berulang-ulang ratusan kali bahawa anda akan memerangi rasuah sedangkan pada realitinya, orang seperti Tei yang berani tampil, menunjukkan muka dan mempertaruhkan dirinya untuk dedahkan salah laku, anda pula menyerangnya.
“Anda pergi ke rumah dia, menyerbu seperti dia penjenayah, seperti pengganas, tanpa sebarang penjelasan mengapa ini perlu berlaku.
“Ini tidak boleh diterima. Kita sepatutnya melindungi pemberi maklumat.
“Jelas dapat dilihat ini bukan kes yang menampakkan SPRM menjalankan siasatan atas inisiatif sendiri, sebaliknya bermula daripada maklumat yang diberikan oleh Tei,” tegasnya.
Beri perlindungan dulu
Latheefa - yang dilantik mengetuai SPRM pada awal Jun 2019 - turut mendakwa agensi antirasuah iu “menunjukkan kuasa” melalui serbuan dan tangkapan Tei pada 28 Nov lalu apabila pegawainya hadir dengan memakai jaket kalis peluru dan lengkap bertopeng.
Tambah Latheefa, ahli perniagaan itu kemudian dibawa dalam keadaan bergari dan memakai baju oren SPRM ketika dibawa untuk direman di Mahkamah Majistret Putrajaya keesokan harinya.
“Tei sudah lama bercakap mengenai (dakwaan rasuah melibatkan ahli politik di) Sabah, tetapi mereka (SPRM) melengah-lengahkan tindakan sehingga akhirnya, daripada 14 orang yang didedahkan, hanya dua didakwa dan itu pun bersama Tei.
“Apa mesejnya? Mereka cuba menakutkan beliau dengan mendakwanya. Jika SPRM mengambil tindakan serius, dan bukannya membenarkan orang-orang ini kembali sebagai Adun, barulah mesej tegas bahawa kita tidak bertolak ansur dengan rasuah dapat dihantar,” katanya.

Tambah Latheefa kerajaan yang benar-benar mahu memerangi rasuah perlu berurusan dengan pemberi maklumat dengan sewajarnya demi memastikan pendakwaan yang betul dapat dibuat.
Latheefa juga berkata bahawa Tei tidak pernah diberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, berdasarkan pendedahan awalnya.
“Jika anda mahu menarik balik perlindungan, anda boleh (menggunakan seksyen berkaitan), tetapi perlindungan mesti diberikan dahulu.
“Dalam kes ini, tiada penarikan perlindungan kerana mereka enggan memberikan perlindungan kepada (Tei) sejak awal. Lupakan soal pemberi maklumat, bagaimana pula dengan perlindungan imuniti kepada saksi pendakwaan? Tak ada,” katanya.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata Peguam Negara mempunyai budi bicara untuk menawarkan imuniti kepada pemberi maklumat, sebagaimana yang pernah berlaku dalam kes rasuah melibatkan penasihat DAP Lim Guan Eng dan isteri bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, Rosmah Mansor.
Dalam kes Lim, katanya, ada saksi bernama Zarul Ahmad Zulkifli yang memberi keterangan mengenai siapa yang diberikan wang. Dia kemudian tidak didakwa atas sebab tertentu.
“Sebab jika anda mendakwanya (Zarul), kes akan menjadi tidak praktikal. Begitu juga dalam kes Rosmah, saksi pendakwaan diberi imuniti, tetapi mengapa dalam kes Tei, tiada pertimbangan sebegitu?
“Sejak hari pertama, anda dengar perdana menteri mengumumkan bahawa kita tidak akan beri perlindungan kepada pemberi maklumat. Bagaimana kita hendak memerangi rasuah jika itu sikap dan dasar kerajaan sekarang?” tegasnya.

