malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Tamparan politik dari PRN Sabah 2025
ADS

ULASAN | PRN Sabah 2025 menjadi lembaran penting dalam landskap politik Malaysia, bukan sahaja untuk Pakatan Harapan (PH), tetapi untuk semua parti yang bercita-cita memimpin negara menuju masa depan yang lebih stabil dan berintegriti.

Keputusan yang menyaksikan PH mengalami kekalahan besar, termasuk DAP kalah di semua kerusi yang ditandingi, PKR yang hanya menang satu kerusi, dan Amanah yang masih belum menembusi kawasan Sulabayan, memberi mesej yang sangat jelas bahawa pengundi Sabah menghantar isyarat yang tidak boleh dipandang ringan.

Pilihan raya ini adalah pesta demokrasi yang diraikan rakyat Sabah dengan penuh hikmah; mereka telah menggunakan hak mereka, bukan sahaja untuk memilih wakil, tetapi juga untuk memberi peringatan kepada semua parti bahawa kepercayaan bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi tanpa usaha berterusan.

Dalam konteks PH, keputusan itu adalah cerminan ketidakpuasan hati pengundi yang selama ini dilihat sebagai kumpulan penyokong setia.

Pengundi Cina misalnya, yang lazimnya menjadi benteng sokongan PH, memilih untuk tidak keluar mengundi atau mengalihkan undi mereka kepada parti lain. Fenomena ini tidak berlaku secara kebetulan tetapi lahir daripada rasa kecewa yang semakin menebal terhadap hala tuju gabungan itu.

Barangkali, pengundi sudah penat dengan politik yang dilihat tidak konsisten, kerjasama yang dianggap bercanggah dengan prinsip asal, serta janji-janji perubahan yang tidak lagi memberi inspirasi.

Namun, di sebalik segala kegagalan itu, pesta demokrasi di Sabah tetap menunjukkan satu sisi yang indah bagi PH, termasuk Amanah, yang tidak hilang deposit. Ini bermakna walaupun mereka ditolak, mereka tidak ditolak sepenuhnya.

Masih ada pengundi yang menghargai wujudnya pilihan politik yang lebih progresif, meskipun undi mereka belum cukup kuat untuk mengangkat calon-calon tersebut sebagai wakil rakyat.

Dalam bahasa politik, ini adalah petanda bahawa pintu masih belum tertutup, cuma pendekatannya perlu diperbaharui sepenuhnya.

Kembali pada denyut nadi rakyat

Di sinilah terletaknya elemen muhasabah yang sangat penting. Setiap parti perlu kembali kepada asas, kembali memahami denyut nadi rakyat, dan kembali mendekati masyarakat tanpa keangkuhan. Politik bukan sahaja tentang meraih kuasa, tetapi tentang membina hubungan.

Pengundi Sabah terkenal sebagai pengundi yang matang, kritikal, dan tidak mudah terbeli dengan retorik kosong. Mereka melihat siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang turun padang, siapa yang memahami warna tempatan, dan siapa yang hanya muncul ketika pilihan raya hampir tiba.

Sebagai negeri yang memerlukan pendekatan politik yang sangat sensitif terhadap budaya, sejarah dan kompleksitinya, Sabah menuntut calon-calon yang bukan sahaja berwibawa, tetapi benar-benar menjiwai masyarakatnya.

Boleh jadi, salah satu kelemahan paling ketara PH di Sabah ialah lambat memperkenalkan calon, menyebabkan mereka sukar membina kepercayaan di peringkat akar umbi. Dalam hal ini, sudah sampai masanya setiap parti mengumumkan calon lebih awal, bukan dua minggu sebelum hari penamaan calon, tetapi setahun sebelum pilihan raya!

Amalan ini bukan sahaja memberi masa kepada calon untuk bekerja, tetapi membolehkan masyarakat menilai siapa mereka, apakah nilai mereka, bagaimana cara mereka berkomunikasi, serta sejauh mana integriti dan komitmen mereka dapat diyakini.

Dalam politik moden, calon bukan lagi sekadar ‘wakil parti,’ tetapi mereka adalah duta integriti, cerminan budaya kerja, dan simbol harapan masyarakat.

Jambatan muhasabah

Dalam konteks ini, PRN Sabah menjadi jambatan muhasabah menuju Pilihan Raya Umum ke-16. PRU16 adalah satu lagi pertempuran politik, yang mana ia akan menjadi penentu arah masa depan Malaysia.

Soalan terbesar kini ialah adakah parti-parti kita sudah bersedia? Atau adakah mereka masih leka dengan zon selesa, hingga gagal membaca perubahan angin politik yang sedang bertiup?

Kemenangan dalam PRU16 tidak akan berpihak kepada parti yang paling lantang, tetapi kepada parti yang paling bersedia. Ya, bersedia dengan calon yang berkualiti, dasar yang jelas, strategi komunikasi yang telus, dan hubungan yang kukuh dengan rakyat.

Malaysia sedang memasuki fasa baru, di mana rakyat semakin kritikal, semakin cerdas politik, dan semakin menuntut integriti. Para pengundi tidak lagi mudah terpesona dengan slogan; mereka mahu melihat kerja, ketelusan, dan ketegasan melawan rasuah.

Bagi merealisasikan Malaysia mendapat ‘baldatun thayyibatun warabbun ghafur,’ politik kita perlu berakar pada nilai rahmah, hikmah, dan integriti. Ia bukan retorik spiritual semata, tetapi prinsip kepimpinan yang memandu ke arah kesejahteraan sejati.

Negara yang baik bukan dibina oleh parti yang besar, tetapi oleh pemimpin yang jujur dan berjiwa rakyat. Sabah telah memberi isyarat awal bahawa rakyat tidak lagi mahu permainan kuasa yang memenatkan. Mereka mahu kematangan, kestabilan, dan kejujuran dalam politik.

Isyarat jelas

Setiap parti, baik pemerintah mahupun pembangkang, perlu melihat PRN Sabah sebagai amaran keras. Janganlah kekalahan hanya dijadikan alasan untuk menyalahkan pihak lain atau menyusun naratif selamat diri.

Kemenangan besar pun tidak boleh dibanggakan tanpa kerja yang nyata, apatah lagi kekalahan seteruk ini. Ia mesti menjadi kaca mata yang mengajak parti melihat kelemahan sendiri, memperbaiki strategi, dan meletakkan calon yang benar-benar mampu menjadi pemimpin, bukan sekadar pelengkap kuota.

Dalam perspektif yang lebih luas, PRN Sabah melakar satu hikmah besar iaitu politik yang tidak berpijak di bumi nyata pasti akan dihukum rakyat. Rakyat telah bersuara, dan suara itu mesti dihormati. Inilah masa bagi parti menyusun kembali langkah, memperkukuh struktur akar umbi, melatih pemimpin muda, menampilkan muka baru yang berkompetensi tinggi, dan menyuntik semula integriti dalam seluruh jentera.

Akhirnya, perjalanan menuju PRU16 bukan hanya tentang mencari kemenangan politik, tetapi membina keyakinan rakyat bahawa Malaysia masih ada harapan untuk menjadi negara yang baik, makmur, dan dirahmati Tuhan. Sabah telah memberi tamparan, tetapi dalam tamparan itu ada hikmahnya. Dan hikmah itu menuntut setiap parti bersedia, berubah, dan bangkit dengan jiwa yang lebih matang.

Sudah bersediakah kita?


ATRIZA UMAR merupakan calon ijazah kedoktoran, kepimpinan wanita.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen