malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes mati dalam lokap: Gobind tuntut penjelasan AGC
ADS

Menteri Digital, Gobind Singh Deo menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan dakwaan tentang seorang pemandu lori yang mati dalam tahanan polis tetapi tidak disiasat selepas lebih sembilan bulan.

Mengulas laporan Malaysiakini, Gobind berkata, sehingga kini tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa walaupun kejadian menimpa Manisegaran Mohan, 41, sudah berlaku berbulan-bulan.

"Saya rasa elok untuk Peguam Negara memberitahu kenapa tidak ada tindakan yang diambil, khususnya kerana beliau merupakan penjaga kepentingan awam (custodian of public interest)," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Gobind yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan berkata demikian sebagai mengulas kejadian 22 Feb lalu melibatkan Manisegaran yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan selepas ditahan di Balai Polis Sunway, Petaling Jaya.

Menurut isteri pemandu lori terbabit, Rajeswari Subramaniam, terdapat kesan kecederaan pada dada, selain patah gigi dan darah pada mata Manisegaran.

Menurutnya, bedah siasat pula didakwa memberikan penjelasan bercanggah, termasuk dakwaan berkaitan serangan jantung, panau, penggunaan dadah dan cecair di paru-paru.

Sijil kematian pula hanya menyatakan "menunggu siasatan lanjut".

Katanya, kes itu turut menyukarkan keluarga membuat tuntutan insurans kerana polis belum mengeluarkan surat pengesahan kematian.

Selepas lebih sembilan bulan menunggu, Rajeswari merayu campur tangan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku pada Manisegaran.

Menurut Gobind, undang-undang sudah jelas menyatakan bahawa setiap kali berlaku kes kematian dalam tahanan, siasatan mesti dijalankan seperti yang dinyatakan secara spesifik khususnya Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kalau berlaku satu kematian dalam tahanan polis, undang-undang menyatakan bahawa satu penyiasatan diperlukan," tegasnya.

Disamping itu, Gobind turut mengulas kematian melibatkan tiga lelaki suspek penjenayah dalam kes yang berlaku di Durian Tunggal, Melaka pada 23 Nov lalu.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan Bukit Aman sudah menubuhkan satu pasukan siasatan.

"Apa yang perlu kita lihat adalah tindakan dilaksanakan dengan pantas. Kita memerlukan siasatan dan pastikan undang-undang dipatuhi dan tindakan diambil selaras dengan undang-undang.

"Ketelusan dan kejelasan tindakan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap institusi keselamatan dan keadilan," katanya.

Dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal itu polis melepaskan tembakan terhadap tiga lelaki yang didakwa terlibat dalam beberapa kes rompakan bersenjata selepas mereka menyerang seorang anggota keselamatan dengan parang.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata anggota tersebut cedera parah di tangan kiri dan hampir kehilangan nyawa.

Insiden itu turut menarik perhatian Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar, yang melawat koperal berkenaan di Hospital Melaka pada 25 Nov.

Namun, keluarga ketiga-tiga lelaki terbabit menolak penjelasan yang diberikan polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen