malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelajar berjaya rangkul ijazah tanpa 2 tangan, kaki
Diterbitkan:  Dec 4, 2025 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM
ADS

Bagaimana seorang pelajar universiti mampu meneruskan pengajian setelah kehilangan kedua-dua tangan dan kakinya akibat komplikasi kesihatan yang tidak dijangka?

Itulah persoalan yang timbul kepada seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tamat pengajian secara aegrotat.

Siti Mashitah AK Sulaiman, 24, tetap memilih untuk kembali meneruskan pengajian walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran kesihatan.

Keadaan kesihatan Mashitah mula merosot pada tahun 2023 apabila mengalami sakit perut yang dianggap ringan pada mulanya.

Dia dirujuk ke Hospital Beaufort dan Hospital Sipitang serta beberapa klinik swasta sebelum didiagnosis dengan jangkitan kuman yang kritikal akibat komplikasi apendiks.

Setelah berada dalam koma hampir sebulan, beliau akhirnya diamputasi pada bulan Ogos, tahun yang sama.

“Sehingga kini, saya masih mengalami phantom pain, kesakitan pada anggota yang telah tiada sehingga mengganggu aktiviti harian saya,” katanya melalui siaran media universiti itu petang ini.

Dia juga sukar berkomunikasi dengan baik akibat pernah mengalami strok.

“Dengan keadaan fizikal saya, cabaran mobiliti di universiti menjadi antara kesukaran terbesar yang perlu saya hadapi,” katanya lagi.

“Walaupun begitu, pihak UMS banyak membantu saya dari aspek penyediaan fasiliti termasuklah mewujudkan kelab Buddies Mahasiswa OKU.”

Rakan sekelasnya merangkap ‘buddie’, Fadhilah Yusof, 23, berkata Mashitah lebih mesra dikenali sebagai DK dan merupakan seorang yang sangat peramah dan ceria.

Mashitah dan Fadhilah adalah antara 654 graduan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang menerima segulung ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke-27.

Menyentuh cabaran fizikal dan kesakitan berterusan, Mashitah tetap bercita-cita untuk terus mencapai kejayaan demi keluarganya.

Sehingga kini, dia berpegang kepada matlamat untuk sentiasa berfikiran positif dan membetulkan niat dalam apa juga yang dilakukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen