MIC hari ini menghantar surat secara rasmi kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bagi menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berhubung insiden tembakan yang mengorbankan tiga individu di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov lalu.
Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, berkata melalui surat tersebut partinya menyatakan rasa dukacita terhadap tragedi berkenaan dan menegaskan hanya siasatan bebas dapat memastikan kes itu dapat dirungkai dengan telus, profesional dan bebas daripada konflik kepentingan.
“Kejadian itu telah menimbulkan keresahan masyarakat dan persoalan serius mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada malam tersebut,” katanya.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah turut merakamkan penghargaan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), atas tindakan awal menubuhkan pasukan khas di bagi mengambil alih sepenuhnya siasatan kes itu.
Bagaimanapun, katanya, MIC menegaskan bahawa kebimbangan keluarga mangsa dan peguam mereka mesti diberi perhatian serius, terutamanya selepas kemunculan rakaman audio yang dikatakan bercanggah dengan kenyataan awal bahawa polis bertindak mempertahankan diri.
Katanya perbezaan itu menimbulkan persoalan besar dan ia mesti disiasat secara bebas dan menyeluruh.
“Semua bukti termasuk rakaman audio, forensik dan prosedur operasi standard yang berkaitan perlu diteliti secara terperinci,” katanya.
Gantung tugas serta-merta
Menurut Saravanan lagi, setiap insiden kematian melibatkan pasukan keselamatan kuasa perlu disiasat dengan penuh ketelusan bagi mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap badan berkenaan.
“Ini bukan soal menyalahkan keseluruhan pasukan polis tetapi soal memelihara kewibawaan institusi dan kedaulatan undang undang.
“Oleh yang demikian, saya dengan rendah hati mendesak perdana menteri menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas yang mempunyai kuasa penuh untuk menyiasat kes ini dari setiap sudut.
“Hasil siasatan tersebut mesti diumumkan kepada rakyat bagi memastikan ketelusan penuh,” katanya.
Saravanan juga turut menggesa agar semua pegawai yang terlibat secara langsung serta sesiapa yang didakwa menyembunyikan fakta atau menyebarkan maklumat palsu digantung tugas serta-merta.
Menurutnya, keadilan perlu ditegakkan bukan kerana tekanan mana-mana pihak, tetapi kerana ia adalah hak setiap rakyat Malaysia.

“Malaysia mesti kekal sebagai negara yang tidak menyembunyikan kebenaran, keadilan tidak dilengahkan dan akauntabiliti tidak bersifat terpilih,” katanya.
Badan peguam desak siasat segera
Sementara itu, Badan Peguam Malaysia juga mengeluarkan kenyataan hari ini, menyatakan kebimbangan mendalam terhadap percanggahan kenyataan berhubung kejadian tembakan itu dan klip audio yang bocor, menekankan bahawa keseriusan dakwaan tersebut memerlukan siasatan segera dan bebas.
Presidennya, Ezri Abdul Wahab, menyatakan bahawa pihak berkuasa mesti bertindak segera untuk memelihara semua bukti dan memastikan inkues bebas diadakan tanpa berlengah.
“Apabila nyawa terkorban di tangan negara, undang-undang memerlukan ketelusan mutlak. Sebarang insiden yang melibatkan penggunaan kekerasan maut mesti diperiksa tanpa berlengah dan tanpa pengaruh.
“Semua bukti mesti dipelihara, termasuk sebarang rakaman kamera badan atau kamera pemuka, laporan pelepasan senjata api, log komunikasi dan bahan forensik.
“Kehilangan, penahanan atau pemusnahan bukti sedemikian tidak dapat dipertahankan dan akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ezri juga menyeru pegawai polis yang terlibat dalam insiden itu diletakkan di bawah cuti pentadbiran sementara menunggu siasatan, menekankan bahawa ini adalah amalan standard di peringkat antarabangsa dan tidak bermaksud bersalah.
Dia menggesa pihak berkuasa untuk mematuhi piawaian kepolisan global, termasuk Prinsip Asas PBB mengenai penggunaan senjata api, yang memerlukan kekerasan yang membawa maut sebagai pilihan terakhir yang tertakluk kepada semakan bebas.
Tiga penjenayah bagi kes samun yang paling dikehendaki dilaporkan ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, awal pagi 24 Nov lalu.
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata ketiga-tiga suspek ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu.
Anggota polis terbabit didakwa mengalami kecederaan serius pada tangan kiri.
Dzulkhairi berkata, suspek bersenjatakan parang panjang terdiri daripada dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berusia 29 tahun dikenali Geng DT dan dipercayai terbabit dalam 20 kes pecah rumah, kilang dan kedai makan sejak 2024.
Kegiatan kumpukan itu didakwa menyebabkan kerugian sehingga RM1.3 juta.
Suspek dipercayai menggunakan modus operandi berjalan saja sambil membawa senjata untuk menyamun premis sasaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Sementara itu, pasukan peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati itu juga dilaporkan telah menuntut Bukit Aman menyiasat kematian suspek yang didakwa dibunuh secara execution style berdasarkan bukti audio dan forensik.
Peguam turut mendedahkan rakaman audio sepanjag 13 minit yang didakwa dirakam semasa kejadian.
Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar S Muthuvelu, berkata satu pasukan khas ditubuhkan di peringkat jabatan selepas ahli keluarga membuat laporan kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.

