malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng: Anwar boleh abai saya tapi bukan suara rakyat Sabah
Diterbitkan:  Dec 4, 2025 4:12 PM
Dikemaskini: 9:35 AM
ADS

Penasihat DAP, Lim Guan Eng, mengingatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bahawa tindakan mengabaikan suara pengundi Sabah boleh menjejaskan PH dan menyukarkan sokongan terhadap gabungan itu.

"Perdana Menteri boleh memilih untuk tidak mendengar saya. Namun, beliau tidak mampu untuk mengabaikan suara pengundi Sabah. Berbuat demikian akan menjejaskan prospek PH dan DAP serta sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bekas menteri kewangan itu menafikan dakwaan bahawa dia hanya membangkitkan kesusahan rakyat akibat peluasan asas percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-invois dan bayaran balik tertangguh bagi lebihan cukai yang telah dibayar, hanya selepas dan bukan sebelum pilihan raya (PRN) Sabah.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata dia telah membangkitkan isu itu dalam ucapan di Parlimen sejak 4 Disember tahun lalu, tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan mahupun oleh Anwar.

"Sebaliknya, perdana menteri tetap meneruskan pelaksanaan langkah-langkah tersebut pada separuh kedua tahun 2025," katanya.

Lim berkata sebelum PRN Sabah, dia berucap berkali-kali di Parlimen bagi menggesa kerajaan menangguhkan dan mengkaji semula peluasan skop SST, e-invois, sumbangan 2 peratus oleh majikan kepada KWSP untuk pekerja asing mereka serta cukai-cukai lain.

"Sejak Disember 2024, saya telah membuat sekurang-kurangnya tujuh ucapan di parlimen membantah peluasan skop SST dan langkah-langkah lain yang membebankan rakyat.

"Malah pihak media di Parlimen juga boleh mengingati dan mengesahkan bahawa saya telah berulang kali membuat ucapan meminta kajian semula dan penangguhan langkah-langkah SST, cukai dan lain-lain ini," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Lim membangkitkan isu dihadapi Cheong Wei Foong, pengusaha empat buah akademi muzik yang menghadapi masalah bayaran balik lebihan cukai yang tertangguh oleh LHDN sejak tahun 2020.

Katanya, sepanjang tempoh lima tahun, Cheong berkali-kali hadir sendiri ke pejabat LHDN untuk mendapatkan penjelasan dan bantuan, tetapi pulang dengan kekecewaan.

"Beliau ditangguhkan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM112,000. Setelah membuat aduan kepada LHDN Cawangan Bangi, beliau akhirnya menerima hanya RM4,147 pada bulan Mac tahun ini.

"Beliau amat kecewa kerana jumlah tersebut terlalu kecil berbanding keseluruhan tunggakan. Selepas membuat semakan lanjut, beliau dimaklumkan bahawa itulah sahaja amaun yang dapat diproses pada waktu ini, manakala baki selebihnya masih perlu menunggu — tanpa sebarang tarikh pasti bila ia akan dikembalikan.

Justeru Lim menggesa LHDN untuk segera memulangkan lebihan cukai yang tertunggak, bukan sahaja kepada Cheong tetapi juga kepada seluruh pengusaha PKS yang berdepan situasi sama.

"Wang yang dituntut ini adalah hak syarikat, oleh itu ia tidak wajar sama sekali ditangguhkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen