malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP PKR gesa semak semula polisi PTPTN untuk pelajar IPTS
ADS

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, hari ini mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan garis masa dan mekanisme yang jelas bagi menyemak semula polisi pengecualian pembayaran pinjaman PTPTN untuk pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Dia berkata, desakan itu dibuat susulan seorang pelajar IPTS yang memperoleh ijazah kelas pertama tetapi ditolak pemberian pengecualian pembayaran pinjaman PTPTN.

"Sepanjang bertahun-tahun berusaha untuk mengekalkan pencapaian cemerlang, pelajar ini percaya ia akan membolehkan sebahagian pinjaman PTPTN ditukar menjadi biasiswa. Namun, akibat keputusan terbaru kerajaan, dia kehilangan kelayakan yang telah lama dijanjikan.

"Saya menggesa penubuhan Jawatankuasa Khas PTPTN dan KPT yang merangkumi wakil PTPTN, IPTA, IPTS, badan pelajar, pertubuhan pelajar dan Ahli Parlimen, bagi memastikan proses semakan profesional, telus dan inklusif.

"Kerajaan perlu segera mengumumkan garis masa semakan dan mekanisme penglibatan pihak berkepentingan supaya keputusan dapat dicapai dengan cepat," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Tambahnya, sepanjang dua bulan lalu, pelbagai pihak termasuk pelajar individu, kumpulan pelajar, dan pertubuhan masyarakat seperti Persatuan Belia Xiang Lian serta sayap Pemuda Persatuan Hokkien, telah mengemukakan pendapat dan permohonan agar kerajaan menilai semula polisi PTPTN yang dianggap tidak adil.

Ketika pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pelajar IPTS. Namun, kini pengecualian itu hanya dikekalkan untuk graduan ijazah sarjana muda kelas pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di IPTA.

KPT bagaimanapun bersedia menilai cadangan bagi mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada mahasiswa IPTS daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Menteri KPT, Zambry Abdul Kadir, menjelaskan, dasar pengecualian bayaran balik PTPTN kini hanya diberikan kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang memperoleh ijazah kepujian kelas pertama di IPTA.

Terdahulu, Lee berkongsi kisah seorang pelajar daripada keluarga M40 yang didakwanya menjadi simbol kegagalan dasar semasa. Pelajar itu memperoleh 10A SPM dan mengekalkan CGPA 4.0 di universiti, tetapi ditolak oleh semua universiti awam melalui UPU.

"Akhirnya, dia menerima tawaran daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kemasukan terus.

"Namun, kos pengajian terlalu tinggi, dengan UM menelan belanja RM441,000 dan USM RM350,000. Pelajar itu akhirnya memilih IPTS yang lebih mampu, iaitu RM300,000 dan lulus kelas pertama.

"Pelajar bukan meminta keistimewaan, mereka meminta keadilan," katanya.

Lee menegaskan, keputusan ini menjejaskan bukan sahaja pelajar terbabit tetapi juga pelajar IPTS yang mendaftar antara 2022 hingga 2024. Tambahnya, ibu bapa turut merasakan tekanan kewangan semakin meningkat.

"Masuk ke universiti awam melalui STPM semakin kompetitif, sementara laluan khas semakin mahal.

"Keluarga biasa mendaftar anak di IPTS dengan harapan kecemerlangan akademik dapat mengurangkan beban kewangan, tetapi kini harapan itu hilang," katanya.

Lee turut menegaskan bahawa isu ini bukan soal kebajikan bersyarat, tetapi mekanisme untuk menghargai kecemerlangan dan usaha pelajar.

Dia turut mencadangkan pelajar yang layak menerima pengecualian sebahagian PTPTN berkhidmat di Malaysia untuk beberapa tahun sebagai ganti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen