malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kami diminta tandatangan surat desak Muhyiddin undur'
Diterbitkan:  Dec 4, 2025 2:41 PM
Dikemaskini: 7:20 AM
ADS

Lapan ketua bahagian Bersatu Sabah mendakwa diminta menandatangani dokumen bagi mendesak presiden, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata diminta berbuat demikian ketika dipanggil oleh Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah, Yunos Nordin ke Pejabat Bersatu Negeri untuk memberikan laporan pasca pilihan raya berkenaan.

"Kami, ketua-ketua Bersatu bahagian di Sabah, ingin menegaskan bahawa tanggungjawab penuh terhadap prestasi Perikatan Nasional (PN) dalam PRU Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 terletak pada Pengerusi PN Negeri Sabah, Ronald Kiandee, serta Pengarah Pilihan Raya PN, Hamzah Zainudin.

“Dan bukan pada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahmad Ali Akbar Khan Gulan (Lahad Datu), Jupri Omar (Kota Belud), Faizal Julaili (Papar), Ekbal Khalid (Kalabakan), Abidin Sahat (Ranau), Amat Yusof (Kimanis), Mazmin Mazin (Kinabatangan) dan Ramli AG Said (Sipitang).

Semalam Yunus yang juga ketua Bahagian Bersatu Libaran, mendakwa 20 daripada 24 bahagian Bersatu sebulat suara bersetuju mendesak bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan serta-merta sebagai presiden Bersatu dan pengerusi PN.

Menurut Borneo Post, Setiausaha PN Sabah itu berkata Muhyiddin - yang bergelut mempertahankan kedudukan berikut desakan supaya menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Hamzah Zainudin - mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi buruk parti itu.

Namun, ketua-ketua bahagian Bersatu Sabah yang mengeluarkan kenyataan hari ini menegaskan bahawa kenyataan Yunus itu tidak mewakili mereka.

Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa Hamzah dan Ronald Kiandee perlu membentangkan dapatan post-mortem kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan menjawab sebarang perkara yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

"Pihak yang bertanggungjawab mengurus PRU di peringkat negeri perlu menjelaskan kepada akar umbi mengenai prestasi PN dalam PRU DU Sabah, bukan mengalihkan tanggungjawab kepada pihak lain yang tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan pilihan raya negeri,” tambah mereka.

Menurutnya Yunus sepatutnya membantu Pengerusi PN Negeri Sabah dan Pengarah Pilihan Raya menyiapkan laporan post-mortem secepat mungkin dan bukan menunding jari kepada pihak lain.

"Tindakan Yunus, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), mengadakan sidang media tanpa merujuk dan tanpa menunggu laporan lengkap post-mortem, adalah satu bentuk ketidakbertanggungjawaban serta pelanggaran disiplin parti," kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen