malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ini pembunuhan: Peguam dakwa polis reka cerita parang
ADS

Anggota polis yang menembak mati tiga lelaki di Melaka minggu lalu harus didakwa dengan kesalahan membunuh, kata peguam yang mewakili keluarga mangsa itu hari ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Rajesh Nagarajan menolak sepenuhnya versi polis yang mendakwa ketiga-tiga lelaki itu menyerang anggota polis dengan parang sehingga menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah.

Rajesh Nagarajan, Peguam

“Merujuk laporan penganalisis audio forensik, yang menyatakan tiada insiden seperti itu direkodkan apabila kereta dihentikan, saya berpendapat bahawa ini adalah ‘rekaan semata-mata’ oleh polis.

“Audio jelas, bukti jelas; ketiga-tiga individu itu dalam tahanan polis selama lebih 10 minit sebelum mereka ditembak dan dibunuh.

“Polis di Melaka itu mesti didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

‘Diserang dengan parang’

Menurut laporan media, satu pasukan polis menembak mati tiga lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka, pada 23 Nov.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar dilapor berkata polis melepaskan tembakan terhadap tiga lelaki yang didakwa terlibat dalam beberapa kes rompakan bersenjata, selepas mereka menyerang seorang anggotanya dengan parang.

Anggota tersebut dikatakan cedera parah di tangan kiri dan hampir kehilangan nyawa.

Insiden itu turut menarik perhatian Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar, yang melawat koperal berkenaan di Hospital Melaka pada 25 Nov.

Namun, keluarga ketiga-tiga lelaki terbabit menolak versi polis.

Pada sidang media semalam, mereka merujuk rakaman audio yang didakwa merakam detik-detik ketika ketiga-tiga mangsa sedang bekerjasama dengan polis sebelum ditembak mati.

Susulan itu, Kumar mengeluarkan kenyataan bahawa Bukit Aman akan mengambil alih siasatan, dan memberi jaminan penyiasatan yang “telus, adil dan profesional”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen