Bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM176,830 daripada ahli perniagaan Albert Tei.
Dia didakwa menerima rasuah atas kapasiti sebagai setiausaha politik Anwar bagi membantu syarikat Tei mendapatkan lesen cari gali mineral di Sabah.
Pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur termasuk dua pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM140,000, manakala baki rasuah diterima dalam bentuk pembelian perabot dan perkakasan rumah.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Sementara itu Tei mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) kerana memberi rasuah terhadap Shamsul.
Kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda daripada nilai suapan.
Hakim Suzana menetapkan ikat jamin bagi Shamsul sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin.
Pemimpin PKR itu dikehendaki menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri kepada SPRM sekali sebulan.
Dia juga diarahkan untuk tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon ikat jamin sebanyak RM300,000, manakala peguam Shamsul memohon jumlah yang lebih rendah dengan alasan kesihatannya dan “perwatakan baik” yang ditunjukkannya apabila meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik Anwar.
Ikat jamin terhadap Tei pula ditetapkan sebanyak RM70,000 dengan dua penjamin.
Dia juga dikehndaki menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SPRM sebulan sekali, serta tidak mengganggu saksi semasa kes sedang dibicarakan.



