malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shamsul Iskandar, Albert Tei didakwa di Mahkamah Sesyen KL pagi ini
Diterbitkan:  Dec 4, 2025 8:44 AM
Dikemaskini: 2:35 AM
ADS

Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan Albert Tei akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini berhubung pertuduhan rasuah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Shamsul Iskandar, 50, dan Tei, 37, akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9 pagi.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki pada sidang media berkata kedua-dua individu itu bakal berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

Beliau berkata pertuduhan membabitkan Seksyen 17(a) Akta SPRM bagi kesalahan menerima suapan dan Seksyen 17(b) bagi kesalahan memberi suapan, manakala siasatan terhadap kedua-duanya dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Shamsul Iskandar dan Tei direman enam hari bermula 29 Nov, selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk melengkapkan siasatan.

Kes itu berkaitan dakwaan bahawa Tei memberi rasuah kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula sejumlah dana yang dikatakan telah diagih kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen