malaysiakini logo
story-image
ADS

Peguam M Indira Gandhi, N Rajesh menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail agar menegur Ketua Polis Negara (IGP) Khalid Ismail atas kegagalannya mematuhi keputusan mahkamah yang menetapkan bahawa anak Indira mesti dipulangkan kepadanya.

Bercakap kepada Malaysiakini di luar ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, Rajesh turut mengkritik ketiadaan Khalid semasa himpunan hari ini.

Terdahulu, Indira dan para peserta himpunan pada awalnya merancang untuk menyerahkan teddy bear milik anaknya yang telah lama hilang, Prasana Diksa, kepada IGP sebagai simbolik.

Namun, Khalid tidak muncul walaupun para penunjuk perasaan menunggu hampir empat jam dan telah memberikan notis awal mengenai himpunan hari ini.

“Amat mengecewakan apabila seorang rakyat seperti Indira, yang semua orang tahu telah menderita selama 16 tahun, walaupun telah menang di mahkamah berkali-kali termasuk keputusan bersejarah pada 2018, tetapi IGP tidak mampu meluangkan masa 15 minit untuk bertemu dengannya. (Mengapa) perlu campur tangan menteri kabinet untuk hanya menetapkan janji temu?

“Anda berkhidmat kepada rakyat, dibayar oleh pembayar cukai, dan mempunyai kewajiban untuk menangani aduan rakyat. Jadi apabila anda duduk di tempat tinggi dan enggan bertemu Indira…ia mencerminkan imej yang sangat buruk, bukan sahaja terhadap polis, tetapi terhadap IGP sendiri.

“Ini tidak boleh diterima sama sekali, dan kami berharap IGP ditegur oleh Menteri Dalam Negeri. Menteri Dalam Negeri mesti memberitahunya bahawa tindakan sebegini tidak boleh berlaku, ia benar-benar tidak boleh diterima,” katanya.

Terdahulu, Rajesh juga telah berhubung dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Nuzulan Mohd Din, yang pada mulanya berkata dia akan mengadakan perbincangan untuk mengatur pertemuan antara Indira dan Khalid.

Namun, Nuzulan kemudian berkata polis tidak dapat menetapkan pertemuan tersebut.

Ketika di depan Bukit Aman, Indira yang sebak turut memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka bukan memprotes sesiapa, tetapi hanya mahu anaknya dipulangkan.

“Kami bukan lawan polis, kami sebenarnya mahu bekerjasama dengan polis. Kami hanya mahu mencari Prasana. Apa yang berlaku hari ini sangat memalukan polis, kerana mereka tidak melakukan apa-apa,” katanya.

Indira turut mengkritik kegagalan polis untuk menyatakan sebab mengapa Khalid tidak dapat menemuinya hari ini, walaupun mereka sudah berhubung dan memberikan notis awal mengenai himpunan tersebut.

“Saya hanyalah rakyat biasa yang mahu bertemu IGP. Apa yang susah sangat? Saya langsung tidak meminta wang atau apa-apa daripadanya. Saya hanya mahu jawapan. Mengapa dia tidak boleh jumpa saya? Dia tidak berikan apa-apa alasan mengapa dia tidak dapat jumpa saya hari ini,” katanya.

Indira menegaskan dia tetap akan berbesar hati untuk bertemu Khalid pada tarikh yang ditetapkan mengikut kesesuaiannya sendiri.

“Jika dia kata sesuatu yang mudah seperti, ‘saya tidak dapat jumpa hari ini, tetapi boleh bertemu pada satu tarikh tertentu’, semuanya boleh diselesaikan dengan mudah.

“Kami semua sudah boleh pulang lebih awal hari ini. Tetapi IGP langsung tidak beri tarikh, malah masih enggan menjelaskan mengapa dia enggan bertemu saya,” katanya sambil menangis.

Terdahulu, Pengerusi Indira Gandhi Action Team (Ingat), Arun Dorasamy berkata dia dimaklumkan yang Khalid berada di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sekitar tengah hari sebelum ke Bukit Aman untuk bertemu Indira dan para peserta himpunan.

Namun, sehingga jam 2.30 petang, Khalid masih belum muncul dan para peserta bertindak duduk di atas jalan serta enggan berganjak sehingga dia tiba.

Mereka akhirnya bersurai sekitar jam empat petang selepas diyakinkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran yang dia akan membantu mengaturkan pertemuan antara Indira dan Khalid dalam masa beberapa minggu akan datang.

Dia itu turut berjanji akan hadir pada pertemuan tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen