malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Exco Kedah pertahan isu tulisan Cina pada batu asas kilang
Diterbitkan:  Nov 20, 2025 1:23 PM
Dikemaskini: 6:00 AM
ADS

Exco Industri dan Pelaburan Kedah, Haim Hilman Abdullah, tampil menafikan dakwaan bahawa penggunaan tulisan Cina pada batu asas majlis pecah tanah di Kedah Rubber City baru-baru ini mencerminkan sikap kerajaan negeri yang tidak menghormati bahasa Melayu.

Dalam satu kenyataan, di Facebook, katanya tulisan Melayu tetap digunakan pada acara tersebut, dengan ucapan rasmi juga dibuat dalam bahasa Melayu dengan bendera Kedah dan Malaysia dikibarkan seperti lazimnya.

Menurutnya, kehadiran tulisan Cina pada batu asas adalah sebahagian daripada penghormatan terhadap identiti pelabur asing yang terlibat dalam projek tersebut.

“Pelabur dari luar datang membawa teknologi, peluang pekerjaan dan rezeki untuk rakyat. Kita sebagai tuan rumah menghormati identiti mereka, sama seperti mereka menghormati bahasa dan budaya kita yang berbilang kaum.

“PAS dan PN bukan jumud. Kita tak pernah halang kemajuan, tak pernah sekat hak sesiapa untuk beragama atau berbangsa.

“Kita mempertahankan identiti negara, tetapi dalam masa sama membuka pintu pelaburan berbilion ringgit demi masa depan rakyat,” katanya sambil menambah bahawa rekod pelaburan asing yang tinggi di Kedah sebagai bukti keterbukaan kerajaan negeri.

Kenyataan itu dibuat susulan video tular di media sosial yang memaparkan Menteri Besar Kedah mendakwa tanah di negeri ini dirampas oleh bangsa asing.

“Yang lawan kita, balik dari Taiwan, China, Singapura. Dia (Mereka) undi Pakatan Harapan. Dia jahanamkan kita...menjajah tanah kita pasal dia tahu penting tanah ini untuk dikuasai.

“Pasal kita bodoh, hang bodoh. Negeri ini orang dah ambik la,” katanya dalam video berkenaan.

Mengulas lanjut Haim Hilman berkata, jika benar dakwaan kerajaan negeri dianggap menutup pintu kepada kaum lain, pelaburan dari negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan China tidak akan masuk ke Kedah.

Mengenai reaksi terhadap penggunaan tulisan Cina pada batu asas itu, Haim Hilman menyifatkan kritikan berkenaan sebagai tidak berasas.

“Rupanya mereka takut dengan batu asas bertulisan Cina yang bermaksud ‘meletakkan asas’.

“Mereka pandang bendera Kedah sebagai bendera negara China. Apa yang membuatkan mereka begitu fobia?” soalnya.

Selasa lalu, Kedah Rubber City (KRC) menerima suntikan pelaburan berjumlah RM2.6 bilion daripada syarikat pengeluar tayar dari China, Prinx Chengshan Holdings Ltd.

Pelaburan bagi pembinaan kilang pembuatan tayar itu sekali gus menjadi pelabur pertama di taman perindustrian tersebut.

Projek kilang pintar dan mesra alam itu dengan sokongan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), melibatkan peruntukan RM1.2 bilion bagi fasa pertama dan RM1.4 bilion bagi fasa kedua dalam tempoh 15 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen