Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, menegaskan firma guamannya yang mewakili pemaju Melati Ehsan tidak terlibat dalam salah laku atau konflik kepentingan dalam isu pengusiran penduduk di Kampung Papan, Klang.
“Sebarang dakwaan salah laku profesional atau konflik kepentingan bukan sahaja tidak berasas, malah menunjukkan salah faham asas mengenai etika profesional guaman.
“Terma yang dibincangkan dalam dialog kami adalah kerangka undang-undang biasa untuk rundingan penyelesaian, di mana penarikan rayuan tertunggak merupakan syarat standard dan perlu bagi mencapai penyelesaian menyeluruh dalam kes undang-undang yang panjang,” tambahnya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Ahli Parlimen Kepong itu juga mengingatkan bahawa mereka yang membuat “kenyataan fitnah dan dakwaan tidak berasas” boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Untuk mengelakkan sebarang keraguan, firma guaman saya dan saya secara jelas mempertahankan semua hak undang-undang kami, termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sesuai terhadap sebarang dakwaan fitnah atau tidak berasas yang menjejaskan kedudukan profesional kami,” katanya.
Lim menjelaskan bahawa firma guamannya, Stella, Lim & Co, bertindak sebagai salah seorang peguam bagi Melati Ehsan berkaitan projek perumahan syarikat itu.
Menurutnya, selepas syarikat itu memperoleh perintah pengusiran melalui firma guaman lain, ia kemudian mengarahkan firmanya untuk mengadakan dialog dengan kerajaan negeri Selangor mengenai cadangan penyerahan tanah secara sukarela, yang melibatkan program perumahan mampu milik negeri dan pemindahan tempat ibadat yang terjejas.

“Adalah penting untuk menekankan bahawa pelanggan kami, setelah memperoleh perintah pengusiran yang sah dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk menyerahkan tanah.
“Cadangan penyelesaian menyeluruh ini adalah langkah ikhlas untuk mencapai penyelesaian adil yang menyelaraskan matlamat pembangunan dengan kepentingan komuniti.
“Dialog ini berasaskan prinsip undang-undang asas bahawa setiap entiti berhak mendapat perwakilan undang-undang, yang merupakan komponen penting dalam akses kepada keadilan dan kedaulatan undang-undang dalam mana-mana masyarakat demokratik,” tambahnya.
Lim menjawab kritikan Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, yang mendesak DAP menjelaskan sama ada terdapat konflik kepentingan apabila Lim mewakili pemaju manakala seorang lagi Adun, Tony Leong (Pandamaran), menentang pemaju yang sama.

Merujuk kepada surat daripada pemaju, Arutchelvan berkata surat itu, antara lain, meminta penduduk menarik balik rayuan mereka di mahkamah yang sedang berjalan.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah surat ini datang daripada syarikat guaman Stella, Lim & Co, yang mewakili Melati Ehsan (pemaju). Peguam yang dinamakan dalam firma itu ialah Lim, yang merupakan Ahli Parlimen DAP untuk Kepong, dan Stella @ Ng Sheau Yun, yang merupakan isterinya.
“Pendedahan ini amat membimbangkan. Di satu pihak, kita mempunyai seorang Adun DAP yang menyeru agar pemaju itu disenaraihitamkan dalam dewan undangan negeri. Di sebelah satu lagi, kita mempunyai Ahli Parlimen DAP yang menyediakan perwakilan undang-undang untuk syarikat yang sama,” tambahnya.

