malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak wajar samakan peruntukan Sabah dengan hak 40 peratus hasil - Upko
Diterbitkan:  Oct 22, 2025 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM
ADS

Peruntukan kepada Sabah tidak wajar disamakan dengan 40 peratus hasil persekutuan yang dijamin oleh perlembagaan daripada negeri itu, kata Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia menyeru kerajaan persekutuan untuk menunjukkan keikhlasan politiknya dengan melaksanakan hak perolehan 40 peratus Sabah, seperti yang disebut dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang kami mahukan daripada kerajaan persekutuan bukan sekadar bayaran sementara atau janji bersyarat, tetapi pengiktirafan rasmi terhadap hak Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

"Selagi hak ini belum diiktiraf dan dilaksanakan sepenuhnya, perjuangan ini tidak akan selesai. Ini bukan perjuangan parti atau individu — ini perjuangan rakyat Sabah untuk mendapatkan kembali apa yang telah lama menjadi hak kita.

"Kita menuntut pelaksanaan sebenar, bukan sekadar rundingan berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan akan memutuskan sama ada untuk merayu atau tidak keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus hasil persekutuan Sabah selepas mendapat nasihat peguam negara.

Semasa sesi taklimat khas di Dewan Rakyat, Anwar memberitahu dewan bahawa dia mengadakan taklimat itu untuk menjelaskan "tafsiran mengelirukan" keputusan mahkamah, "seolah-olah kerajaan persekutuan hanya mengeluarkan hasil dari Sabah tanpa menyumbang kepada pembangunannya."

Sambil menekankan komitmen Putrajaya untuk menangani semua tuntutan daripada Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar berkata kerajaan telah memperuntukkan lebih banyak dana kepada Sabah daripada apa yang kerajaan persekutuan kutip dari negeri itu sejak 2022.

Menurutnya, kerajaan persekutuan telah menyalurkan jumlah pembiayaan yang semakin meningkat kepada Sabah daripada RM13 bilion pada 2022, RM14 bilion pada 2023 dan 2024, dan RM17 bilion untuk tahun ini dan tahun hadapan, berbanding sekitar RM10 bilion hasil yang dikutip daripada negeri itu setiap tahun.

Jumaat lalu, mahkamah mendapati kerajaan persekutuan telah bertindak secara menyalahi undang-undang dan di luar kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan gagal untuk menghormati 40 peratus bahagian hasil persekutuan Sabah selama hampir lima dekad.

Mahkamah mengeluarkan perintah mandamus mengarahkan Putrajaya menjalankan semakan hasil baru dengan kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan dan bersetuju mengenai kelayakan 40 peratus negeri bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021, dengan semakan itu bermula dalam tempoh 90 hari dan berakhir dalam tempoh 180 hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen