PARLIMEN | Kerjaan akan memutuskan sama ada akan merayu atau tidak keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus hasil persekutuan Sabah selepas mendapat nasihat peguam negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Semasa sesi taklimat khas di Dewan Rakyat, perdana menteri berkata sebarang keputusan adalah untuk kepentingan terbaik Sabah dan negara.
"Kerajaan Madani menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman mahkamah setelah diterima kelak, (tapi setkat ini) belum diterima lagi, sebelum tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat peguam negara, demi kepentingan Sabah dan negara," kata Anwar di Dewan Rakyat.
Sesi taklimat khas itu diadakan hari ini berikutan keputusan mahkamah pada Jumaat yang mendapati kerajaan persekutuan telah bertindak menyalahi undang-undang dan di luar kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan gagal untuk menghormati 40 peratus bahagian hasil persekutuan Sabah selama hampir lima dekad.Anwar berkata dia mengadakan taklimat itu untuk menjelaskan "tafsiran mengelirukan" mengenai keputusan mahkamah itu, "seolah-olah kerajaan persekutuan hanya mengeluarkan hasil dari Sabah tanpa menyumbang kepada pembangunannya."
Sambil menekankan komitmen Putrajaya ke arah menangani semua tuntutan daripada Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perdana menteri berkata kerajaan telah memperuntukkan lebih banyak dana kepada Sabah daripada hasil yang dikutip kerajaan persekutuan daripada negeri itu sejak 2022.
Menurutnya, kerajaan persekutuan telah menyalurkan jumlah pembiayaan yang semakin meningkat kepada Sabah daripada RM13 bilion secara keseluruhan pada 2022, RM14 bilion pada 2023 dan 2024, dan RM17 bilion untuk tahun ini dan tahun depan, berbanding sekitar RM10 bilion hasil kutipan dari negeri itu setiap tahun.
Peruntukan itu termasuk pemberian khas kerajaan persekutuan kepada negeri, perbelanjaan agensi persekutuan, subsidi bahan api dan perbelanjaan pembangunan Sabah.
“Sebenarnya, perbelanjaan ini jauh melebihi jumlah hasil kutipan di Sabah bagi tahun 2022, 2023, dan 2024 iaitu sekitar RM10 bilion ringgit setahun.
"Hasil ini termasuk bayaran tunai petroleum 5 peratus serta cukai langsung dan tidak langsung lain. Ini bermakna Kerajaan Madani telah membelanjakan lebih daripada jumlah hasil yang dikutip di Sabah," kata Anwar di Dewan Rakyat.
Berhubung pemberian khas kerajaan pusat kepada Sabah, perdana menteri menegaskan bahawa pentadbirannya telah meningkatkan jumlah itu kepada beberapa kali ganda sejak mereka mengambil alih Putrajaya.
Ini susulan semakan yang dijalankan pada 2022 dan persetujuan dicapai antara Putrajaya dan kerajaan negeri Sabah ketika itu, yang menyaksikan pemberian khas meningkat daripada RM53.4 juta setahun kepada RM125.6 juta.
Susulan kajian semula pada 2023, jumlah itu dinaikkan kepada RM300 juta dan sebelum ia digandakan kepada RM600 juta tahun ini, kata Anwar.
Bagaimanapun, perdana menteri menegaskan bahawa kenaikan kepada RM600 juta itu juga merupakan jumlah sementara, sementara menunggu perbincangan antara Putrajaya dan kerajaan negeri Sabah mengenai mekanisme baru untuk menentukan pengiraan masa depan bagi pemberian khas itu.
*Laporan oleh Hariz Mohd, Qistina Nadia Dzulkarnain, Dania Kamal Aryf dan Shakira Buang.

