Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel memintas misi kemanusiaan dibawa Flotilla Sumud Global (GSF) ketika ia membawa orang awam yang tidak bersenjata ke Gaza.
Katanya Malaysia akan menggunakan semua kaedah yang sah dan mengikut undang-undang bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berhubung warganegara Malaysia
"Saya mengutuk sekeras-kerasnya pemintasan Israel terhadap GSF.
“Kapal-kapal ini membawa orang awam yang tidak bersenjata dan bekalan kemanusiaan bagi menyelamatkan nyawa penduduk Gaza, namun mereka disambut dengan intimidasi dan paksaan," katanya dalam kenyataan pagi ini.
Anwar juga berkata tindakan itu mencerminkan sikap Israel yang tidak menghiraukan bukan sahaja hak rakyat Palestin tetapi juga hati nurani global.
"Dengan menyekat misi kemanusiaan, Israel menunjukkan penghinaan sepenuhnya bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin tetapi juga terhadap hati nurani dunia.
“Flotila itu melambangkan perpaduan, belas kasihan dan harapan bantuan bagi mereka yang berada di bawah sekatan.
“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah yang paling utama, dan kita tidak akan membenarkan mereka dikompromi dengan sewenang-wenangnya,” tambah Anwar.

Tentera Israel dilaporkan menaiki dua daripada kapal GSF - Alma dan Sirius - pada jam 9.44 malam (2.44 pagi waktu Malaysia) ketika mereka sedang belayar melalui zon merah R3 yang berisiko tinggi di Laut Mediterranean.
Alma membawa aktivis kemanusiaan Malaysia – Musa Nuwayri, Iylia Balqis, dan Sul Aidil – manakala Sirius dinaiki Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli, dan Rusydi.
Menurut Bernama, Pusat Perintah Sumud Nusantara (SNCC) melaporkan pemintasan rejim Zionis terhadap Alma disahkan secara visual dari Morgana, manakala bagi Sirius, isyarat kecemasan dan pengesahan visual diterima dari Grande Blue.
Bagaimanapun, tiada isyarat SOS diterima dari kedua-dua bot.
Terdahulu, NSCC juga melaporkan komunikasi dengan sembilan rakyat Malaysia di empat kapal dalam flotila itu sudah terputus.

Selain Alma dan Sirius, dua aktivis lain - penyanyi Zizi Kirana yang berada di atas kapal Huga, dan pelakon Ardell Aryana (Mikeno) – juga tidak dapat dihubungi.
Menurut Anwar lagi, selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin dinafikan, Malaysia tetap teguh bersama mereka.
“Kami tidak akan berputus asa menuntut ketidakadilan dan perampasan yang telah menimpa Palestin selama beberapa generasi ditamatkan,” katanya.
[Laporan lanjut menyusul]


