Perdana Menteri, Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Anwar berkata peruntukan itu adalah tambahan daripada dana RM100 juta yang telah diumumkan kerajaan dua tahun lalu.
"Mana pun saya pergi saya tak pernah tinggalkan saudara-saudaraku Palestin.
"...bagi pihak kerajaan Madani kita telah luluskan dua tahun lalu (dana) RM100 juta.
"Malam ini saya isyitiharkan kerajaan Malaysia akan bagi dana RM100 juta sebagai permulaan dana," katanya pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka yang menandakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.

Anwar turut menggesa syarikat korporat supaya turut menyumbang bagi tujuan dana kepada Palestin.
Perdana Menteri tiba di Dataran Merdeka sekitar jam 9.06 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam pidatonya Anwar mengecam keras kekejaman rejim Zionis terhadap umat Islam di Gaza termasuk rampasan tanah mereka.
Tegas Anwar pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak akan berubah dalam usaha memastikan negara itu beroleh kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman Zionis.
Anwar berkata, dia menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika bertemu negara dunia memohon sokongan serta menyatakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Gaza.
"Saya guna kuasa (sebagai perdana menteri) sedaya upaya saya bercakap dengan setiap pemimpin Islam, pemimpin Jepun, China, India.
"Ya melelahkan, kadang kala mengecewakan, ya kadang-kadang rasa tidak ada harapan tapi percayalah saudara...jangan kita merasa lelah dan kecewa dalam mengorak langkah," katanya lagi.
Anwar turut mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai kurang siuman apabila membunuh kanak-kanak dan wanita dengan rakus.
“Ini bukan manusia ini haiwan, itu jawapan kita kepada mereka... orang lapar mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tak boleh masuk, orang sakit perlu ubat.
"Apa yang berlaku di Gaza (ialah) penjajahan...Nentanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim pun sanggup dipertahankan, anak-anak kecil pun (dituduh) Hamas,” katanya.

