Walaupun demonstrasi membantah insiden bendera terbalik di Pulau Pinang berakhir semalam, pertelingkahan antara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek nampaknya masih jauh daripada reda.
Tidak berpuas hati dengan himpunan balas yang dianjurkan NGO tersebut, Akmal malam tadi memuat naik hantaran di media sosial bagi menyindir Zaid dan kumpulannya kerana mempertahankan pemilik kedai perkakasan yang baru-baru ini dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.
"Yang terbalikkan bendera Malaysia dianggap hero.
"Yang mempertahankan bendera Malaysia dianggap zionis.

"Itu lah perangai mereka. Benarlah Buang itu wujud,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu dalam hantaran di Facebook.
Akmal turut menyertakan gambar Zaid bersama kumpulannya ketika himpunan berkenaan, yang memaparkan seorang peserta memegang plakad bertulis “Jangan bersikap Zionis”.
Difahamkan, Akmal juga merujuk kepada watak penjahat bernama Buang dalam filem Sarjan Hassan arahan P Ramlee.
Watak yang dilakonkan oleh Salleh Kamil itu digambarkan sebagai pengkhianat kerana bersekongkol dengan tentera Jepun semasa penjajahan ke atas Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua.

Dalam maklum balas segera, Zaid pula melabel pemimpin Pemuda Umno itu sebagai pengecut.
Dia mendakwa Akmal hanya berani mengkritiknya di media sosial tetapi tidak sanggup berdepan secara bersemuka.
“Selepas lari daripada berjumpa dengan saya, Akmal hanya berani untuk mengutuk saya apabila berlindung di sebalik layar media sosial.
"Jelas di sini beliau hanyalah jaguh media sosial, kecut bila perlu bersemuka,” kata Zaid dalam satu kenyataan.
Menurut peguam itu, Akmal hanya menggunakan kumpulan penunjuk perasaan untuk menakut-nakutkan dirinya, pemilik kedai,dan sesiapa sahaja yang berani menentang penindasan serta perbuatan ala samseng oleh ahli politik sepertinya.
Zaid mendakwa ketika ahli kumpulan penunjuk perasaan mula memaki-hamun ahli LFL, Akmal meninggalkan kawasan tersebut dan tidak berusaha meredakan keadaan.
“Rupa harimau hati tikus, itulah peribahasa yang sesuai digunakan terhadap keyboard warrior seperti Akmal ini,” tambahnya.
Semalam, lebih 100 penunjuk perasaan termasuk anggota Pemuda Umno dan Pemuda Bersatu berkumpul di Kepala Batas, Pulau Pinang dalam himpunan untuk “mendidik” pemilik kedai perkakasan itu tentang cara yang betul mengibarkan Jalur Gemilang.
Pada masa sama, LFL turut membawa kumpulan mereka untuk melindungi pemilik kedai berkenaan, Pang Chin Tian (Feng Jin Zhen) daripada sebarang gangguan.

