Pemuda Amanah menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap akhbar Sarawak Tribune , termasuk mempertimbangkan penutupannya.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah, Mus’ab Muzahar berkata, sayap parti itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan “biadab” akhbar berkenaan menyiarkan tajuk berbaur fitnah terhadap wartawan Al Jazeera, Anas Al-Sharif, yang syahid dalam serangan Zionis di Gaza.
"Tajuk tersebut secara jelas cuba menggambarkan beliau sebagai seorang militan, sekali gus mengulangi naratif palsu yang dipromosikan oleh rejim Zionis untuk menjustifikasikan pembunuhan wartawan Palestin.
"Lebih mengecewakan, permohonan maaf yang dikeluarkan oleh Sarawak Tribune langsung tidak menarik balik tajuk tersebut atau menyatakan penyesalan terhadap fitnah yang dibuat.
"Malah, edisi yang sama turut memberi liputan istimewa kepada Benjamin Netanyahu tanpa menyebut peranannya sebagai penjenayah genosid yang bertanggungjawab atas kematian lebih 60,000 rakyat Palestin dan hampir 250 wartawan sejak 2023,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kelmarin Sarawak Tribune memohon maaf susulan laporan versi cetaknya mengenai pembunuhan Anas Al Sharif yang digambarkan sebagai seorang militan dengan tajuk berbunyi “Militant using press cover eliminated” (Militan guna identiti media dibunuh).
Anas, antara wartawan paling dikenali yang membuat liputan dari medan perang di Gaza, terkorban bersama beberapa petugas media lain dalam serangan terancang Israel terhadap sebuah khemah yang menempatkan wartawan di Gaza pada Ahad lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak.
Mengakui artikel mengenai kematian Anas tidak menepati standard ketepatan tinggi, Sarawak Tribune bagaimanapun menafikan tuduhan bahawa akhbar itu mempromosikan naratif Zionis.
Dalam pada itu Mus’ab berkata, Pemuda Amanah memandang serius cubaan media tempatan menormalisasikan genosid serta membungkam kebenaran melalui penyebaran maklumat palsu.
"Sejarah hitam Sarawak Tribune yang pernah ditutup kerana menerbitkan kandungan menghina Rasulullah SAW seharusnya menjadi iktibar, namun insiden terbaru ini membuktikan kegagalan mereka memikul tanggungjawab kewartawanan secara beretika.
"Kebebasan media tidak boleh dijadikan perisai untuk menyebar fitnah dan memperkukuh naratif genosid," ujarnya.

